Rakyat jangan terpengaruh elemen luar jejaskan perpaduan di Sabah – Hajiji

KOTA KINABALU : Kerajaan negeri akan terus memastikan perpaduan dan keharmonian rakyat berbilang kaum di Sabah kekal terpelihara.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata, ini sekali gus tidak mahu ada elemen luar dari seberang datang untuk meracuni pemikiran dan budaya rakyat negeri ini.

Katanya, rakyat Sabah mempunyai lebih 30 etnik hidup dalam keadaan harmoni sejak sekian lama walau pun berbeza latar belakang agama dan bangsa.

“Namun, istimewanya kita, menerusi budaya kita terus bersatu dan ini perlu dipupuk untuk generasi akan datang.

“Oleh itu, saya tidak mahu elemen-elemen dari seberang datang ke negeri ini untuk meracuni pemikiran rakyat Sabah.

“Kita menghormati kebudayaan semua kaum sebab itu kerajaan negeri turut menganjurkan perayaan besar termasuk Hari Raya Aidilfitri dan Tahun Baharu Cina di peringkat negeri,” katanya.

Hajji berkata, inilah keistimewaan negeri Sabah kerana apa juga perayaan yang dianjurkan, ia mendapat sambutan hebat daripada rakyat berbilang kaum.

“Sebab itu, saya amat menghargai jemputan ke majlis ini dan tahniah kepada penganjur iaitu Persatuan Komuniti Cina Sabah Bersatu Kota Kinabalu (USCCAKK).

“Kita harus menjaga perayaan seperti ini untuk anak-anak kita kerana dengan kepelbagaian inilah akan memantapkan lagi keharmonian di Sabah,” jelas Hajiji.

Menurutnya, kerajaan negeri akan pastikan semua budaya dan perayaan dihormati termasuk memberi peruntukan kepada rakyat di negeri ini.

“Usaha ini adalah bukti bahawa kerajaan negeri menghormati sambutan semua perayaan yang ada di negeri ini, termasuk Tahun Baharu Cina.

“Kita melahirkan berbangga terhadap penganjuran ini kerana ia bukan saja diraikan masyarakat Tionghua malah turut dihadiri masyarakat berbilang kaumndi negeri ini,” kata Hajiji.