KOTA BELUD – Kerusi Dewan Undangan Negeri bagi kawasan Usukan akan ditandingi calon daripada Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pada Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) Sabah akan datang.
Ketua Bahagian Parti Gagasan Rakyat (Gagasan Rakyat) Usukan, Datuk Japlin Akim menegaskan bahawa parti GRS paling layak sekali gus sesuai untuk mewakili rakyat di kawasan berkenaan.
Katanya, Gagasan Rakyat tidak akan berkompromi lagi serta berusaha memastikan Dewan Undangan Negeri (DUN) Usukan menjadi milik GRS pada PRN kelak.

“PGRS Usukan sudah membuat segala persiapan dan tidak akan berundur ke belakang lagi, mereka mesti terus bergerak ke hadapan dan akan pastikan kerusi DUN Usukan menjadi milik GRS.
“Melalui wakil GRS sahaja segala permasalahan serta keperluan rakyat di DUN Usukan akan lebih terbela selain meningkatkan lagi kemudahan yang ada,” katanya di sini semalam.
Sementara itu, Ketua Penerangan Gagasan Rakyat Sabah Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, kerajaan Warisan merupakan kerajaan paling gagal semasa menerajui kerajaan Sabah selama dua tahun (2018-2020).
“Apa juga yang dibuat oleh GRS…Warisan akan ‘Tuntut’ itu adalah usaha mereka. Ibarat lembu punya susu sapi dapat nama.
“Ketua Menteri sekarang Datuk Hajiji Noor banyak buat pembaharuan untuk kemajuan dan kesejahteraan serta memacu masa depan rakyat Sabah,” jelas Nizam.
Menurutnya, rakyat diingatkan agar tidak mudah terperdaya kata-kata manis pembangkang.
“Hal ini kerana mereka hanya tahu berbohong kepada rakyat, serta berjanji di sana sini.
“Yakinlah politik Sabah kini semakin stabil dibawah kerajaan pimpinan Ketua Menteri,sewajarnya rakyat terus memberikan mandat kepada untuk terus menerajui kerajaan demi kesejahteraan kepada semua,” kata Nizam.
