TENOM : Yayasan Bank Rakyat (YBR) akan melaksanakan program pembangunan khas pendidikan di negeri ini.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) Datuk Ewon Benedick berkata, program Ehsan@KUSKOP dilancarkan Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Noor pada Program Santuni MADANI Kuskop Bersama Komuniti Kota Belud Kadamaian.
Katanya, YBR menyalurkan peruntukan sejumlah RM3 juta untuk tujuan itu dan tempoh pelaksanaan adalah setahun, bermula tahun ini.

“Program pembangunan pendidikan ini menoktahkan kemiskinan melalui pendidikan. meningkatkan mutu pendidikan di kalangan pelajar kurang bernasib baik terutamanya di kawasan luar bandar.
“Saya agak kecil hati setiap kali mendengar Sabah dilaporkan memiliki daftar kemiskinan tegar yang tinggi,” katanya di sini semalam.
Ewon berkata, beliau mencari pendekatan untuk menjadi sebahagian daripada penyelesaian masalah kemiskinan di Sabah memperkenalkan Ehsan@KUSKOP.
“Melalui peruntukan daripada YBR, kita akan membiayai kos pengangkutan pelajar yang tersenarai dalam e-Kasih supaya tiada lagi alasan ibu bapa tidak menyekolahkan anak mereka.
“Selain itu, kita juga akan memberikan bantuan awal pengajian, bantuan awal persekolahan, tuisyen dan bantuan-bantuan lain yang diperlukan oleh pelajar berkenaan,” jelas Ewon.
Menurutnya, kementeriannya memilih tiga daerah dikategorikan mempunyai daftar kemiskinan tegar termasuk Kota Belud, Kota Marudu dan Kudat.
