Raja-raja Melayu sokong Parlimen bersidang secepat mungkin

KUALA LUMPUR (Bernama): Raja-Raja Melayu yang menghadiri perjumpaan di Istana Negara hari ini menyokong dan senada dengan pendirian Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah agar Parlimen segera bersidang.

Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad berkata di peringkat negeri pula, Raja-Raja Pemerintah turut berpendirian agar Dewan Undangan Negeri (DUN) dibolehkan bersidang secepat mungkin.

“Kaedah dan prosedur persidangan seperti yang sedang diamalkan di beberapa buah negara yang terbukti dapat mengawal rangkaian jangkitan virus COVID-19, wajarlah diperkenalkan dan diterima pakai di negara ini,” katanya dalam satu kenyataan malam ini.

Syed Danial berkata Raja-Raja berpendirian pentingnya dihormati mekanisme semak dan imbang antara cabang eksekutif, legislatif dan kehakiman untuk menjamin berlakunya tadbir urus yang telus, berintegriti dan bertanggungjawab kepada rakyat terutama dalam hal ehwal kewangan dan perbelanjaan negara.

Dalam perjumpaan dengan Raja-Raja Melayu petang tadi, Al-Sultan Abdullah menzahirkan pandangan bahawa persidangan Parlimen perlu diadakan secepat mungkin.

Perjumpaan itu dihadiri oleh Sultan Terengganu, Sultan Selangor, Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Sultan Johor, Sultan Perak, Sultan Kedah, Pemangku Raja Pahang dan Raja Perlis yang diwakili oleh Raja Muda Perlis.

Sementara itu, Syed Danial berkata Raja-Raja Pemerintah turut menzahirkan penghargaan kepada Yang di-Pertuan Agong atas sifat baginda mengamalkan budaya bermesyuarah, bersedia mendengar pandangan daripada institusi mewakili rakyat dan pada hari ini mengadakan pertemuan untuk mendapatkan nasihat Raja-Raja Melayu.

“Semangat tersebut adalah selaras dengan budaya syura yang sangat dianjurkan oleh Islam ketika ummah menghadapi sesuatu perkara besar yang memerlukan penyelesaian,” katanya.

Beliau berkata dalam perbincangan tersebut, Raja-Raja telah mencambahkan pandangan dan menzahirkan pendapat secara terbuka dan berterus-terang dalam semangat saling menghormati agar dapat dijadikan bahan panduan dan rujukan Seri Paduka membuat ketetapan.

ADVERTISEMENT

Syed Danial berkata Raja-Raja Melayu juga menzahirkan di peringkat negeri masing-masing, baginda-baginda turut menerima menghadap pelbagai pihak yang menyembahkan kebimbangan terhadap keadaan negara ketika ini, selain mempersembah pelbagai cadangan memohon kebijaksanaan Raja-Raja Pemerintah membantu merangka formula penyelesaian untuk meringankan kesusahan yang sedang dihadapi majoriti rakyat.

“Adalah menjadi kewajipan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Pemerintah di negeri-negeri untuk mengimbangkan pelbagai tuntutan demi menjamin berlakunya keadilan dan menghindarkan kemungkinan sebenar ataupun tanggapan berlakunya sebarang penyalahgunaan kuasa,” katanya.

SabahNewsToday

Leave a Reply