KUALA LUMPUR: Naib Presiden PKR Rafizi Ramli memutuskan untuk kembali menyertai politik dan mengesahkan akan bertanding jawatan Timbalan Presiden dalam pemilihan parti itu akan datang.
Dalam kenyataan di Facebook, bekas Ahli Parlimen Pandan itu berkata, politik progresif pelbagai bangsa kini berada dalam bahaya jika PKR dan Pakatan Harapan (PH) terus menjadi parti ketiga kerana gagal memikat pengundi atas pagar.
“Atas kesedaran itu, saya telah membuat keputusan untuk kembali menyertai gelanggang politik dengan mengesahkan saya akan bertanding jawatan Timbalan Presiden PKR dalam pemilihan akan datang,” katanya.
Rafizi berkata, ketaasuban kepada strategi gabungan politik ketika ini semakin menjauhkan PKR dan PH daripada rakyat sehingga membuatkan rakyat beranggapan bahawa semua hanyalah drama “Keluarga 69”.
“Saya terus mendapat desakan daripada pendukung PKR dan PH dalam kalangan rakyat biasa untuk kembali ke gelanggang politik. Saya mengambil masa yang panjang kerana tidak yakin saya boleh membantu dalam keadaan pandangan saya adalah pandangan minoriti dalam kalangan pimpinan PKR dan PH.
“Saya berpendapat kegilaan mencatur sokongan di peringkat atas sehingga PKR dan PH nampak terpisah dan kaku daripada suara rakyat akan dihukum oleh rakyat,” katanya dalam laporan FMT.
Bulan lalu, Rafizi dilaporkan agak keberatan untuk “terjun” semula ke gelanggang politik dengan berkata, jiwanya bukan lagi dalam bidang itu, namun beliau memaklumkan wujud desakan daripada akar umbi PKR yang mahu beliau masuk ke gelanggang politik sekali lagi selepas berehat panjang.
Sebelum ini, penyokong Rafizi dilaporkan mahu beliau kembali aktif di arena politik, terutama ketika PKR bersiap menghadapi pilihan raya umum ke-15 (PRU15).
Beliau dilihat antara pemimpin yang berkemungkinan tampil bertanding jawatan Timbalan Presiden PKR menggantikan Mohamed Azmin Ali yang dipecat susulan “Langkah Sheraton” yang menumbangkan kerajaan PH pada 2020.
Pada Disember 2019, Rafizi mengumumkan bersara daripada politik kerana mahu memberi tumpuan kepada usaha mendalami ilmu pengetahuan berkaitan teknologi terkini.
Beliau sebelum itu dilepas dan dibebaskan Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 15 Nov 2019 daripada sabitan dan hukuman penjara 30 bulan atas kesalahan mendedahkan data bank berkaitan National Feedlot Corporation (NFC).