TAWAU : Golongan pekebun, petani, peladang serta nelayan menjadikan ‘Siaran Radio’ sebagai rujukan bagi mendapatkan informasi terkini dan sahih.
Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, malah ada dalam kalangan mereka memiliki set radio kecil bersama mendengar beramai-ramai sambil membuat kerja masing-masing.
Katanya, tidak kurangnya ada kalangan premis kediaman, perniagaan, kedai-kedai, restoran malah terdapat peniaga kaki lima masih menggunakan radio sebagai halwa telinga mereka.
“Meskipun persaingan radio semakin mencabar, bukan sahaja dengan kehadiran televisyen, wayang gambar malah penggunaan meluas telefon bimbit dan komputer telah banyak mempengaruhi dominasi radio dalam kalangan masyarakat pada masa kini.
“Namun sedarkah kita apabila masuk ke dalam kenderaan, setelah menghidupkan enjin, perkara pertama yang perlu dilakukan adalah menghidupkan siaran radio kesukaan kita,” katanya di sini hari ini.
Nizam merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apas berkata, oleh itu penubuhan Radio Malaysia Tawaufm juga adalah antara radio stesen popular siarannya meliputi daerah Tawau, Semporna, Kunak dan Lahad Datu.
“Apa yang diharapkan agar RTM dapat terus berusaha, berjuang dalam mengatasi salah satu jenayah media digital dengan penyaluran maklumat yang lebih kreatif, segar, terkini dan tepat.
“Saya juga turut mengambil kesempatan untuk mencadangkan agar sambutan Hari Radio Sedunia ini dapat diteruskan dan dikembangkan pada masa akan datang sekali gus mengingatkan kita peranan dan fungsi radio yang sentiasa releven dengan perkembangan semasa,” jelas Nizam.