SANDAKAN : Dua lelaki warga asing didenda sebanyak RM10,000 setiap seorang atau penjara 15 bulan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah memiliki barang kawalan minyak petrol tanpa lesen atau kebenaran.
Jefferson Hayat, 41, dan Mubin Rahman, 30, mengaku bersalah di hadapan Hakim, Zaini Fishir@Fisal kerana melakukan perbuatan itu di sebuah stesen minyak di Bandar Sandakan di sini lebih kurang pukul 6.20 petang pada 6 Februari lepas.
Berdasarkan fakta kes, kedua-dua tertuduh ditahan menerusi serbuan Ops Tiris oleh sepasukan pegawai Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Cawangan Sandakan.
Ketika serbuan, Jefferson yang tidak mempunyai dokumen pengenalan diri didapati memiliki sebanyak 240 liter minyak petrol, manakala Mubin yang merupakan pemegang IMM13 dikesan memiliki 300 liter minyak petrol.
Hasil siasatan mendapati kedua-dua tertuduh tidak memiliki sebarang lesen atau kebenaran berhubung minyak petrol yang dimiliki.
Atas kesalahan itu, mereka didakwa di bawah Seksyen 21, Akta Kawalan Bekalan 1961 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 22 (1) Akta yang sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.
Hakim turut memerintahkan kedua-dua tertuduh untuk dirujuk ke Jabatan Imigresen Malaysia untuk tindakan selanjutnya sebaik sahaja selesai menjalani hukuman.
Pendakwaan kes dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa KPDN, Othman Said.
Sementara itu, Ketua Pegawai Penguatkuasa Daerah, KPDN Cawangan Sandakan, Azdy Zukkry John berkata pihaknya akan terus meningkatkan pemeriksaan dan penguatkuasaan di bawah Ops Tiris bagi membanteras sebarang aktiviti penyelewengan dan ketirisan barang kawalan di daerah ini.