QSB laksana penstrukturan semula syarikat subsidiarinya memfokuskan perniagaan bagi tingkat keuntungan – Dr Yusof

KOTA KINABALU: Qhazanah Sabah Berhad (QSB) dalam proses penstrukturan semula syarikat-syarikat subsiadiarinya memfokuskan perniagaan bagi meningkatkan keuntungan.

Pengerusi QSB Datuk Dr Yusof Yacob berkata selepas dilantik menjadi pengerusi QSB, beliau telah meneliti perjalanan perniagaan semua anak-anak syarikat dan mendapati banyak ruang boleh dilaksanakan untuk ditambah baik.

“Saya telah memanggil semua Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) anak syarikat dan memberitahu mereka kita perlu penstrukturan semula secara besar-besaran.

“Jadi mana-mana syarikat dan perniagaan yang boleh dikembangkan kita kembangkan atau meneroka perniagaan baru dan saya telah beri gambaran pada Townhall pertama awal tahun ini dan bagi peluang mereka melakukan penyusunan.

“Pada Townhall kedua ini saya meminta mereka buat pembentangan apa yang telah mereka buat dan Alhamdulillah..walaupun tidak begitu memberangsangkan lagi tapi ini adalah permulaan baik..dan selepas ini, kita pastikan ia dilaksanakan,” katanya.

Beliau ditemui Sabah News Today selepas Sesi Townhall QSB di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini, semalam.

QSB telah diperbadankan pada 6hb April 1995 sebagai cabang pelaburan Kerajaan Negeri Sabah di bawah Akta Syarikat Malaysia 1965.

Ia pada mulanya dijalankan sebagai syarikat awam berhad tetapi kemudiannya menjadi syarikat sendirian berhad pada 15hb September 1995.

Qhazanah Sabah Berhad menjana pendapatan daripada syarikat-syarikat subsidiarinya yang menjalankan perniagaan usaha niaga daripada pengurusan dan perkhidmatan pelabuhan, telekomunikasi, pemilikan kenderaan bermotor dan perkhidmatan berkaitan pengangkutan, tenaga, pembangunan dan pemilikan hartanah, pensterilan dan penyediaan perkhidmatan perubatan.

Syarikat-syarikat subsidiary QSB adalah Comon Tower Technologies, Celcom Timur (Sabah) Sdn Bhd, Qhazanah Technology Sdn Bhd, Angkatan Hebat Group, Suria Capital Holding Berhad, Qhazanah Quantum Sdn Bhd, Borneo Housing Mortage Finance Berhad, WH Medicare Sdn Bhd dan Qhazanah Resources Sdn Bhd, Energy Venture Sdn Bhd, Kojasa Holdings Berhad, WH Cekal Bersepadu Sdn Bhd dan WHSB Ventures Sdn Bhd.

Yusof berkata beliau mahu membentuk satu pasukan yang faham dengan visi QSB dan melaksanakan penyusunan semula perniagaan mereka secara terperinci dengan ada sasaran masa dan ada Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang harus dicapai.

Katanya penstrukturan semula ini akan selesai hujung tahun ini dan tahun hadapan adalah masa pelaksanaan.

“Kita ada setahun untuk menyusun semula dan kini sedang dilaksanakan dan kita nilai menerusi KPI tertentu mengikut anak syarikat,” kata Dr Yusof.

Dalam pada itu. turut diberi tumpuan oleh Dr Yusof adalah mewujudkan Yayasan Qhazanah bagi melakukan Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) sebagai sumbangan kepada masyarakat.

Katanya syarikat-syarikat subsidiari QSB menyumbang ke Yayasan menerusi hasil keuntungan yang diperolehi.

Beliau berkata salah satu yang dirancang menerusi Yayasan ini adalah membuka sebuah Pusat Hemodialisis untuk masyarakat yang memerlukan.