Putrajaya jangan paksa kerajaan negeri

KUALA LUMPUR: Kerajaan Persekutuan perlu melakukan desentralisasi atau pemencaran kuasa bagi memberi ruang kepada pengurusan di peringkat negeri membuat keputusan tertentu.

Mengutarakan cadangan itu, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau (UPKO-Tuaran) berkata kuasa pentadbiran termasuk berkaitan hal ehwal kesihatan, pendidikan dan sosial ketika ini terlalu berpusat di Putrajaya.

Sehubungan itu, katanya, setiap keputusan yang dimuktamadkan dilihat sering kali tidak mengambil kepentingan dan pendirian dikemukakan kerajaan negeri dengan berbekalkan kecaknaan kumpulan pengurusan berhubung situasi semasa di peringkat tempatan.

“Sebagai contoh, insiden pertukaran secara tiba-tiba membabitkan bekas Pengarah Kesihatan Sabah, Dr Christina Rundi untuk ditempatkan di Putrajaya, dengan pelantikan ke jawatan setara, bukan naik pangkat.

“Kita tahu bahawa Dr Chrisitina memang tegas, tetapi semua permintaan, permohonan dan cadangan dari Jabatan Kesihatan Sabah bukan saja lambat, tapi tak ditunaikan oleh Kerajaan Persekutuan.

“Sampai Dr Christina ambil keputusan bersara awal sebab pandangan mereka yang lebih tahu pasal Sabah tak didengar oleh Putrajaya.

“Tatkala pandemik seperti ini, perlu ada desentralisasi kuasa dan Putrajaya tidak boleh paksa kerajaan negeri,” katanya pada Mesyuarat Khas Dewan Rakyat, laporan Portal Berita Harian hari ini.

Sementara itu, Datuk Mohamad Alamin (BN-Kimanis) berkata peningkatan penularan kes COVID-19 di Sabah wajar diberi perhatian walaupun negeri terbabit kini beralih ke Fasa Kedua, Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Menyedari risiko sedemikian, beliau meminta supaya tenaga pakar dan petugas perubatan, khususnya di kawasan pedalaman Negeri di Bawah Bayu itu tidak dikerah ke Semenanjung, susulan peningkatan kes di Lembah Klang sejak kebelakangan ini.

“Kita perlukan pakar di tempat ini, khususnya luar bandar, kawasan pedalaman dan daerah berisiko di Sabah. Jadi jangan kerah mereka semua ke Semenanjung sebab masih ada risiko peningkatan kes di sini.

“Jumlah bekalan vaksin satu dos seperti Cansino juga diminta untuk ditingkatkan ke Sabah, selain bagi memastikan kapasiti inokulasi di setiap Pusat Pemberian Vaksin (PPV) yang rata-rata mempunyai kemampuan memberi suntikan mencecah 59,000 dos mampu dimanfaatkan.

“Buat masa ini, kadar inokulasi di PPV Sabah hanya sekitar 30,000 dos saja setiap hari, justeru bekalan perlu ditambah memandangkan prestasi liputan vaksin masih kurang memuaskan,” katanya.