Pusat jagaan warga tua masih kekurangan sokongan

PAPAR: Pusat jagaan warga tua di Sabah masih berdepan kekangan operasi walaupun menerima bantuan kerajaan, kata Menteri Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Julita Majungki.

Beliau berkata, lawatan ke Rumah Warga Tua Sri Pritchard di Kinarut hari ini menunjukkan masih terdapat jurang dari segi pembiayaan dan kemudahan asas yang memerlukan perhatian lebih menyeluruh.

Menurutnya, walaupun bantuan kerajaan disalurkan, ia belum mencukupi sepenuhnya untuk menyokong operasi pusat jagaan berkenaan.

“Perlu ada penyelarasan lebih baik melibatkan masyarakat, NGO dan sektor swasta,” katanya.

Julita turut memaklumkan isu bekalan air di pusat berkenaan akan dibawa kepada pihak berkaitan untuk tindakan lanjut.

Katanya, kementerian akan terus bekerjasama dengan pelbagai pihak bagi memperkukuh sokongan kepada pusat jagaan warga tua termasuk melalui program sukarelawan dan bantuan komuniti.