PRU15: STAR cadang kerusi Parlimen Pensiangan diberikan kepada GRS – Dr Jeffrey

PENSIANGAN: Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Datuk Seri Dr. Jeffrey Kitingan mencadangkan agar kerusi Parlimen Pensiangan dipertimbangkan untuk diberikan kepada Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Katanya, ini selaras serta mengikut kehendak rakyat di peringkat akar umbi berikutan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) bukan sebahagian daripada Kerajaan Sabah.

“Kita cuba meredakan kekeliruan awam yang berterusan mengenai penjajaran GRS dengan Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN).

“Realitinya ialah kita telah mewarisi jenama politik dari masa lalu. Tetapi kita harus ingat bahawa politik Sabah tidak sama dengan politik Malaya,” katanya pada majlis pelancaran jentera pilihan raya GRS di sini hari ini.

Dr Jeffrey berkata, beliau yakin dengan pemimpin dalam GRS kini sangat konsisten dalam memperjuangkan hak-hak Sabah.

“Terdapat pencapaian positif termasuk Sabah dan Sarawak kini digelar sebagai wilayah, bukan lagi sebagai dua negeri dalam Persekutuan, satu langkah yang dilihat sebagai pengiktirafan kedudukan mereka sebagai rakan kongsi yang setara,” katanya.

Dr. Jeffrey mengingatkan masih banyak kerja yang perlu dilakukan yang memerlukan ketabahan daripada kerajaan dan pemimpin yang stabil.

“Kita mahukan jenama politik kita sendiri. Kita tidak mahu lagi hidung ditindik seperti kerbau dan ditarik-tarik. Kita mahu menjadi seperti Sarawak…kita adalah rakan kongsi dengan Malaya tetapi bukan di bawah mereka,” katanya.