KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini memerintahkan penyandang kerusi Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, membela diri atas empat pertuduhan, termasuk pecah amanah dana berjumlah RM1 juta.
Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Azhar Abdul Hamid membuat keputusan itu selepas pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap Presiden Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) yang juga bekas Ketua Angkatan BERSATU Anak Muda (ARMADA) BERSATU itu.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin dan Mohd ‘Afif Ali, manakala peguam, Gobind Singh Deo dan Haijan Omar, mewakili Syed Saddiq.
Pada 27 September lalu, pendakwaan menutup kes berkenaan selepas 30 saksi selesai memberi keterangan dalam perbicaraan bermula 21 Jun lalu.
Saksi terbabit termasuk ibu dan bapa Syed Saddiq, iaitu Shariffah Mahani Syed Abdul Aziz serta Syed Abdul Rahman Abdullah Asagoff dan bekas Penolong Bendahari ARMADA BERSATU, Rafiq Hakim Razali.
Turut memberi keterangan, tiga pegawai penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mohd Syahmeizy Sulong, Nurul Hidayah Kamarudin dan Asbi Munip.
Pendakwaan juga menawarkan 13 saksi kepada pembelaan, termasuk dua pegawai forensik SPRM, Moses anak Lawrence dan Wan Zulkifli Wan Jusoh serta rakan Syed Saddiq, iaitu Mohamed Amshar Aziz, Nurali Nadzwan dan Muhammad Suhaimi Yahya.
Syed Saddiq, 29, berdepan empat tuduhan, iaitu didakwa bersubahat dengan Rafiq yang diamanahkan dengan dana berjumlah RM1 juta dan melakukan pecah amanah dengan menyalahgunakan dana itu.