LAHAD DATU: Calon Parti Warisan (Warisan) Parlimen Lahad Datu, Datuk Mohd Yusof Apdal menolak dakwaan dilabel sebagai pengkhianat kepada UMNO sekali gus diangggap tidak rasional.
Menurutnya, kenyataan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah, Datuk Seri Bung Mokhtar Radin itu dilihat sangat keterlaluan serta hanya sekadar meraih undi dalam kalangan rakyat di Lahad Datu.
“Saya beralih menyertai Warisan atas dasar pilihan sendiri selepas tewas dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) termasuk Pilihan Raya Negeri (PRN16)….Ketika itu rakyat menolak UMNO/BN.
“Saya menyertai Warisan hanya berseorangan dan bukannya membawa keluar ahli-ahli UMNO untuk menyertai Warisan, katanya di sini semalam.
Mohammad Yusof berkata, suasana ketika itu rakyat sudah jelas menolak UMNO mengapa lagi beliau masih bersama parti berkenaan.
“Saya harus mengikut kehendak rakyat Sabah yang mengundi Parti Warisan…Jadi tidak timbul isu menjadi pengkhianat.
“Mereka yang menuduh saya sebagai pengkhianat itu mungkin hanya mengambil kesempatan sekadar mencemarkan nama Parti Warisan sebagai modal dalam kempen mereka,” katanya.