RANAU: Parti Warisan (WARISAN) hari ini mengumumkan seorang pesara perkhidmatan awam, Markus Siton sebagai calon parti itu bagi kerusi Parlimen Ranau pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Presiden WARISAN, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal membuat pengumuman itu semasa program jelajah parti berkenaan di sini hari ini.
Markus, 67, yang juga Ketua Bahagian WARISAN Ranau adalah bekas Pengarah Jabatan Pembangunan Sumber Manusia yang bersara pada Disember 2015.
Kerusi Parlimen Ranau yang majoriti pengundinya etnik Dusun, kini disandang Datuk Jonathan Yasin yang menang atas tiket PKR pada PRU14 namun menyertai BERSATU pada 2020.
Sebelum ini, Mohd Shafie menyatakan partinya akan bertanding di semua 25 kerusi Parlimen di Sabah.
Selain Parlimen Ranau, Mohd Shafie sebelum ini mengumumkan lapan calonnya di Sabah, iaitu Datuk Adnan Puteh (Sipitang), Dr Daud Yusof (Kimanis), Ahmad Hassan (Papar), Datuk Jilid Kuminding (Kota Marudu).
Selain itu, Datuk Azis Jamman (Sepanggar), Datuk Darell Leiking (Penampang), Isnaraissah Munirah Majilis (Kota Belud) dan Rashid Harun (Kudat).