KENINGAU: Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin sambut baik cadangan Manifesto memberi fokus kepada hab keselamatan Sabah dan Sarawak.
Beliau berkata, cadangan tersebut memang dialu-alukan rakyat Sabah kerana mereka memerlukan jaminan dari segi keselamatan.
“Dengan keselamatan yang utuh, negeri Sabah dan Sarawak akan menarik lebih banyak pelabur seterusnya merancakkan lagi ekonomi negeri,” katanya di sini hari ini.
Sementara itu, Calon BN Parlimen Pensiangan Datuk Arthur Joseph Kurup berkata sebagai calon Barisan Nasional Parlimen Pensiangan, manifesto menumpukan kepada pembangunan infrastruktur, bantuan kebajikan dan sosial.
Selain itu, beliau akan meletakkan pendidikan sebagai teras utama untuk memperkasakan peranan anak muda yang membolehkan mereka bergiat lebih proaktif memperkasakan ekonomi untuk membangunkan kawasan Parlimen Pensiangan yang terletak di luar bandar.