SANDAKAN: Dewan Pemuda PAS Negeri Sabah menyeru agar PAS Pusat menghantar calon melalui rundingan kerusi bersama Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sekali gus dapat bertanding dalam Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Sabah, Hendri Hamsah berkata ini atas semangat setia kawan serta pengorbanan yang perlu diberikan oleh rakan dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS) terhadap PAS sebagaimana dilakukan parti itu semasa Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah lalu.
Katanya, Dewan Pemuda Pas Sabah juga ingin menyatakan komitmen tidak berbelah bahagi untuk menampilkan calon anak muda tempatan yang terdiri daripada pemimpin pemuda sekiranya diarahkan oleh pucuk pimpinan.
“Kami juga berkomitmen penuh untuk menggerakkan seluruh jentera pemuda PAS bagi memastikan kemenangan PAS dalam PRU15 tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Muktamar Dewan Pemuda PAS Malaysia Kali Ke 62, semalam di Port Dickson.
Antara kawasan yang menyatakan usul berkenaan adalah Sandakan, Keningau, Putatan, Kalabakan, Tawau, Batu Sapi serta Kota Belud.
Sementara itu, Ketua Muslimat PAS Sabah, Norsah Bongsu berkata, pihaknya sedang memperkemas jentera muslimat disemua peringkat termasuk muslimat kawasan malahan turut bersedia menghantar calon muslimat sekiranya diarahkan.
“Muslimat PAS Sabah juga telah melancarkan jentera HalWa dalam satu majlis pelancaran pada 12 September yang lalu sebagai permulaan langkah persediaan jentera pilihanraya,” katanya.
Sementara itu, Ketua Ulamak PAS Sabah, Barbar Abbas dalam satu kenyataannya juga turut menyokong dan menyambut baik cadangan yang akan dikemukakan dalam muktamar PAS Pusat.

“PAS Sabah sudah mempunyai jentera yang cukup dan kukuh untuk menghadapi Pilihan Raya yang akan datang. Kami juga meminta agar rakan dalam GRS memberikan sedikit ruang buat PAS Sabah bertanding dalam PRU15 sekurang-kurangnya lima kerusi tradisi PAS Sabah,” katanya.