PAPAR: Projek Naik Taraf Hospital Papar yang mengalami kelewatan dijangka dapat dipulihkan sekali gus disiapkan pada penghujung tahun ini.
Menteri Kesihatan, Dr. Zaliha Mustafa berkata hospital itu dijangka mula beroperasi pada bulan Mac 2024 mengalami kelewatan sejak projek tersebut dimulakan pada 23 Mei 2017.
Katanya, projek merupakan bukti kerajaan sentiasa komited untuk meningkatkan kualiti perkhidmatan kesihatan demi kesejahteraan rakyat di Sabah khususnya Papar.
“Justeru, dengan terbinanya bangunan baharu Hospital Papar ini akan dapat membantu lebih 100,000 ribu penduduk di daerah Papar serta kawasan sekitar bagi mendapatkan rawatan dan perkhidmatan kesihatan yang terbaik dan lebih selesa.
“Projek ini telah diluluskan dengan kos sebanyak RM98.5 juta yang melibatkan pembinaan wad dengan pertambahan 84 katil yang merangkumi Wad Pediatrik, Wad Wanita dan Wad Lelaki.
“Selain itu, perkhidmatan yang bakal disediakan kepada pesakit termasuk Kecemasan & Trauma, Pengimejan (X-Ray), Farmasi Satelit, Dewan Pembedahan dan Jabatan-jabatan serta perkhidmatan lain yang berkaitan.
“Keseluruhan kapasiti katil bagi Hospital Papar akan meningkat kepada 161 katil apabila projek ini siap,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Dr. Zaliha berkata, Kementerian Kesihatan sentiasa memberi komitmen yang terbaik dalam memperkasakan dan mempertingkatkan kualiti penyampaian perkhidmatan kesihatan kepada semua terutamanya penduduk di Sabah melalui penyediaan infrastruktur dan kemudahan fasiliti perubatan yang terbaik kepada masyarakat.