Polteknik dan Kolej Komuniti pilihan utama pelajar di Sabah – Mohammad Yusof

LAHAD DATU: Pihak pengurusan Politeknik serta Kolej Komuniti Zon Sabah perlu melipatgandakan sekali gus meningkatkan promosi berkaitan kemasukan pelajar baharu di negeri ini.

Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Mohammad Yusof Apdal berkata, ini kerana syarat pembayaran yang sangat fleksibel memerlukan pelajar hanya membayar yuran serendah RM200 untuk mengikuti pengajian pada setiap semester.

Katanya, ini merupakan satu kelebihan pada Politeknik serta Kolej Komuniti sudah tentu dapat membantu masyarakat mendapat akses pendidikan yang berkualiti pada kos yang berpatutan.

“Kita melihat dari perspektif pendidikan di Sabah, antara cabaran masyarakat tidak memperoleh pendidikan sempurna atau tidak melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi ialah masalah kesempitan hidup dan kekangan kewangan.

“Untuk melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi kos atau biaya, maka ramai pelajar khususnya lepasan Sijil Pelajaran Malaysa (SPM) terpaksa menangguhkan atau melupakan hasrat mereka untuk sambung belajar,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Ramah Mersa bersama Warga Politeknik Zon Sabah di Dewan Serbaguna Kolej Komuniti Lahad Datu, di sini hari ini.

Mohammad Yusof berkata, bagi golongan yang tidak berkemampuan kerajaan juga menawarkan pelbagai bantuan serta pinjaman kepada pelajar bagi membantu mereka meneruskan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi.

Ini termasuklah Bantuan Kewangan Pelajar Kolej Komuniti (BKPKK) serta Pinjaman Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

Sementara itu dalam perkembangan sama Mohammad Yusof berkata, Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) merupakan satu bentuk pendidikan tidak kurang pentingnya berbanding aliran akademik lain.

“Malah TVET mempunyai kelebihan yang tersendiri dalam menyediakan tenaga kerja yang berkelayakan dan berdaya saing dalam dunia pekerjaan.

 “Saya menegaskan TVET bukanlah pengajian kelas kedua. Ini kerana, ia menyediakan tenaga kerja atau modal insan baharu yang sangat penting untuk pembangunan dan kemajuan negara serta menepati kehendak industri,” katanya.