KOTA KINABALU: Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) melaksanakan program meningkatkan tahap Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (KKP) di negeri ini.
Timbalan Menteri Sumber Manusia, Mustapha Sakmud berkata, ini termasuk menganjurkan pelbagai di insitusi pengajian melibatkan pelajar golongan asnaf.
Katanya, program KKP untuk Sekolah Tahfiz (OSH for Tahfiz) dan KKP di Sekolah (OSH in School), untuk mengurangkan kadar kemalangan.
“Ini termasuklah mengurangkan penularan penyakit di peringkat sekolah kebangsaan dan agama termasuk di luar bandar yang banyak disertai oleh pelajar dari golongan asnaf.
“Saya cadangkan agar lebih banyak program sebegini diadakan terutamanya di kawasan luar bandar demi memanfaatkan golongan yang tidak berkemampuan,” katanya di sini hari ini.
Mustapha berkata, lebih ramai tampil membantu selaras dengan konsep Malaysia Madani yang bertunjangkan sikap saling menghormati, meraikan kepelbagaian dan menjadi medan dialog peradaban.
“Selain memberikan sumbangan serta bantuan kepada golongan asnaf, Kerajaan Malaysia Madani memastikan mereka mendapat akses kepada pendidikan, kesihatan dan peluang pekerjaan yang setaraf dengan yang diterima oleh golongan lain dalam masyarakat,” katanya.
Antara inisiatif yang diambil termasuk menyediakan program latihan Pasport Keselamatan secara percuma oleh NIOSH untuk 5,000 pelajar institusi pengajian tinggi awam dan swasta, termasuk mereka dari kumpulan B40.
“Usaha sebegini seharusnya menjadi contoh kepada agensi atau syarikat yang lain kerana ia mampu meningkatkan pengetahuan dan juga memberi nilai tambah kepada para pelajar terlibat, terutamanya yang kurang berkemampuan.
“Saya yakin, sokongan dan bantuan diberikan ini bukan sahaja dapat memperbaiki keadaan sosial dan ekonomi mereka, malahan mampu memberikan harapan dan keyakinan kepada mereka untuk melangkah maju dalam hidup,” katanya.