KUALA LUMPUR: Kerajaan akan memastikan proses vaksinasi dijalankan dengan teratur, cepat dan meliputi seluruh pelusuk negara di bawah pelaksanaan Pelan Pemulihan Negara (PPN).
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata penularan COVID-19 diharap tidak berterusan menjadi pandemik dan beransur menjadi endemik, iaitu keadaan di mana virus mungkin terus wujud, namun wabak boleh dikawal melalui adaptasi norma baharu, sistem kesihatan awam yang berkesan dan amalan kesihatan serta pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.
“Hakikatnya, satu-satunya kaedah yang paling berkesan untuk negara segera keluar daripada kemelut ini ialah dengan mempertingkatkan kapasiti pemberian vaksin kepada rakyat.
“Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) akan terus diperkasa bagi memastikan proses vaksinasi berjalan dengan lancar dan cepat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan penerangan mengenai PPN pada sidang khas Dewan Rakyat, hari ini.