PUTATAN: Pejabat ADUN N.24 Tanjung Keramat dengan kerjasama Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Putatan akan menganjurkan program Cahaya Aidilfitri bagi memeriahkan suasana Ramadan dan Syawal di kawasan itu bermula 10 hingga 18 Mac ini.
Pengerusi penganjur, Mohd Ruzaini Zulkepli, berkata program berkenaan terbuka kepada penduduk di lokaliti DUN Tanjung Keramat dan tidak melibatkan sebarang bayaran penyertaan.
Menurutnya, inisiatif itu digerakkan bersama ADUN Tanjung Keramat, Shah Alfie Yahya, dengan pendaftaran dibuka bermula hari ini hingga 9 Mac 2026.
Katanya, pertandingan terbahagi kepada dua kategori iaitu lampu pelita (susul) dan lampu berhias (colorlight).
Bagi setiap kategori, pemenang tempat pertama akan membawa pulang RM1,500 berserta hamper, tempat kedua RM1,000 berserta hamper dan tempat ketiga RM800 berserta hamper, manakala 12 pemenang saguhati masing-masing menerima RM200.
“Pemenang dijangka diumumkan pada 18 Mac, manakala majlis penyampaian hadiah akan disempurnakan oleh Ahli Parlimen Putatan, Datuk Ir Shahelmey Yahya,” katanya selepas majlis pelancaran program itu di Pejabat UPPM Tanjung Keramat, hari ini.
Turut hadir Pegawai Khas Kanan Parlimen Putatan Mohd Sufian Matin, Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Tanjung Keramat Latip Jiar dan Pegawai Kemajuan Masyarakat Tanjung Keramat Syed Arizal Karim.
Ruzaini berkata, penyertaan boleh dibuat melalui borang Google Form atau kod QR yang dikongsikan di media sosial dan aplikasi WhatsApp rasmi penganjur.
Beliau turut memaklumkan aspek keselamatan turut diberi perhatian dengan kerjasama agensi berkaitan seperti bomba dan polis, termasuk saranan penyediaan alat pemadam api bagi setiap peserta.
Menurutnya, program itu dianjurkan bagi menyemarakkan suasana Ramadan dan Aidilfitri, selain menggalakkan kreativiti komuniti serta menghidupkan kembali budaya pemasangan lampu pelita tradisional dalam kalangan penduduk setempat.
