PRN Sabah: Tunggu Keputusan Mesyuarat AMT GRS, Berkaitan Kerjasama Dengan UMNO – Hajiji

TUARAN : Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sehingga kini masih belum membuat sebarang keputusan berkaitan gesaan Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin hanya akan menimbangkan kerjasama (GRS) selepas Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17).

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata, Ahli Majlis Tertinggi (AMT) GRS akan mengadakan bermesyuarat dalam tempoh terdekat ini untuk menentukan hala dalam PRN Sabah.

Katanya, ini termasuk siapa serta parti yang akan menjadi rakan kerjasama sekali gus menentukan jumlah agihan kerusi berkaitan PRN17.

“Ini mungkin pandangan Bung Moktar sendiri, kita masih belum lagi mengadakan mesyuarat berkaitan apa-apa keputusan tentang perkara dinyatakan itu.

“Kita tunggulah Ahli Majlis Tertinggi (AMT) GRS akan bermesyuarat dalam tempoh terdekat ini,” katanya di sini hari ini.

Hajiji merupakan Pengerusi GRS mengulas kenyataan UMNO Sabah menegaskan hanya akan menimbangkan kerjasama dengan GRS selepas PRN17.

Bung Moktar Radin, berkata sejarah hitam yang pernah dilalui UMNO Sabah ketika bersama GRS sebelum ini menyebabkannya perlu menilai secara teliti sebarang kerjasama dengan gabungan itu.

Katanya, perkara itu membuatkan UMNO Sabah lebih berhati-hati menjalin kerjasama politik, khususnya dengan GRS dalam menghadapi PRN17 bagi mengelak dikhianati sekali lagi.

Sementara itu dalam perkembangan berkaitan, Hajiji menyempurnakan penyerahan sumbangan sebanyak 200 ekor lembu korban sempena sambutan Hari Raya Aidiladha, di Pusat Kebudayaan Rumpun Bajau Samah Sabah, Kampung Lok Batik di sini hari ini.

Menurutnya, ibadah korban bukan sahaja melambangkan ketaatan kepada Allah SWT, juga menjadi medium pengukuhan perpaduan dan semangat saling membantu dalam kalangan masyarakat.

“Ibadah korban membawa mesej besar dalam memperkukuh semangat kesatuan dan saling membantu dalam kalangan masyarakat Islam.

“Hari Raya Aidiladha bukan sekadar perayaan, tetapi satu penghayatan terhadap nilai pengorbanan, keikhlasan dan kepedulian,” jelas Hajiji.