KOTA KINABALU: Ketua Penerangan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Datuk Joniston Bangkuai disaran untuk mengimbau kembali episod rundingan politik yang membawa kepada tertubuhnya kerajaan negeri pasca PRN 2020, sekaligus menyaksikan Datuk Seri Hajiji Noor diangkat sebagai Ketua Menteri.
Pengarah Jabatan Pilihan Raya UMNO Sabah, Jeffery Nor Mohamed berkata kejayaan menubuhkan kerajaan negeri pada ketika itu adalah hasil kerjasama GRS dengan Umno, dan satu daripada tiga jawatan Timbalan Ketua Menteri diberikan kepada pemimpin Parti Bersatu Sabah (PBS).
“Namun ‘janji’ sebelum PRN 2020 dan pasca PRN, GRS telah menunjukkan ketidakjujuran dalam pembahagian portfolio menteri yang terjumlah sebagai khianatan awal, “ katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Untuk rekod, selepas upacara mengangkat sumpah jawatan Menteri di Istana Negeri selepas PRN ke-16, Ketua Umno Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin diumumkan sebagai Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan berbeza janji awal sebelum ditukar sebagai Menteri Kerja Raya.
Mengenai keputusan Umno meninggalkan kerajaan negeri yang diterajui GRS, Jeffery berkata ia bukan ‘langkah Kinabalu’ seperti yang digambarkan.
Sebaliknya, beliau yang juga Ketua UMNO Putatan berkata ia merupakan konsesus daripada keputusan mesyuarat majoriti pimpinan Umno Sabah.
“Untuk makluman Datuk Joniston, ketua penerangan GRS, kami bukan takut untuk membuat keputusan untuk berada di luar kerajaan negeri kerana segala keputusan segala itu menjurus kepada ‘surviving’ UMNO Sabah dan segala sudut sudah diambil kira.
“Kami bukan sebuah parti yang ‘melukut di tepi gantang’, asal kalah dalam PRN atau PRU terus lompat mencari tempat yang sentiasa berada sebahagian kerajaan biarpun prinsip dan maruah parti tidak dipatuhi, “ katanya.
Beliau berkata pendirian untuk tidak menerima Umno Sabah itu terpulang dengan urusan masing-masing kerana Umno menghormati sistem demokrasi yang diangkat oleh parti itu selama ini.
“Terpulang pada GRS untuk gerak solo atau tidak sebab itu urusan parti kamu, tetapi jangan lupa pada sejarah PBS pernah berada dlm BN, bila BN kalah terus mencari tempat baru bagi meneruskan kehidupan parti.
“Terpulang pada rakyat Sabah untuk menentukan siapa pilihan parti mereka pada PRN17 akan datang, saya yakin kedinamikan politik di negeri Sabah sudah tentu mereka mahu perubahan yang drastik yang mana hampir keseluruhan rakyat negeri Sabah mahukan penyelesaian kepada masalah-masalah infra bukannya kata-kata retorik, “ katanya.
Baru-baru ini, UMNO Sabah menegaskan hanya akan menimbangkan kerjasama dengan GRS selepas Pilihan PRN17.