Isi Air UMS: Jangan Jadikan Media Sosial Sebarkan Kenyataan Cetus Ketegangan – Fairuz

KOTA KINABALU : Semua pihak berkaitan dalam isu gangguan bekalan air di Universiti Malaysia Sabah (UMS) agar tidak saling menuding jari, sebaliknya mengambil pendekatan yang lebih konstruktif bagi mencari penyelesaian segera.

Pembantu Menteri Belia dan Sukan, Datuk Fairuz Renddan berkata, sudah tiba masanya semua pihak yang terlibat berhenti menggunakan media sosial sebagai medan perdebatan dan saling menyalahkan.

Katanya, Jabatan Air merupakan agensi yang bertanggungjawab dalam hal bekalan air.

“Manakala UMS pula adalah sebuah institusi pengajian tinggi yang menjadi kebanggaan rakyat Sabah kerana melahirkan ramai graduan berkaliber.

“Adalah tidak wajar untuk kedua-dua pihak terus bertindak melalui media sosial sehingga boleh mengeruhkan keadaan dan menjejaskan persepsi awam,” katanya dalam kenyataan di sini semalam.

Fairuz berkata, pendekatan terbaik ialah dengan duduk berbincang secara profesional dan turun padang bagi meneliti keadaan sebenar sekali gus mencari jalan penyelesaian yang praktikal dan berkesan.

“Semua pihak perlu bekerjasama, berbincang secara terbuka dan melihat secara langsung situasi di lapangan bagi merangka tindakan segera dan terbaik.

“Pendekatan menyalahkan antara satu sama lain tidak akan membantu menyelesaikan masalah, malah berisiko menambah kekeliruan dan keresahan awam,” jelas Fairuz.

Menurutnya, beliau menyeru agar emosi diketepikan dan media sosial tidak dijadikan platform untuk menyebarkan kenyataan yang boleh mencetuskan ketegangan.