Pertembungan Sailang Wetrom KDM-Julita GRS di DUN Matunggong Dalam PRN – Dr Kanul

KOTA KINABALU : Tiga dekad yang lepas, DUN Matunggong di bahagian Pantai Utara Sabah pernah melahirkan beberapa tokoh politik yang berkaliber.

Antaranya ialah Datuk Mathius Majihi, Datuk Markus Majihi, Atong Magabis, Jornah Mojihim, Sarapin Magana dan Datuk Jelani Hamdan.
Kini DUN Matunggong diwakili YB Datuk Julita Mojungki.

Julita telah menjadi wakil rakyat kawasan DUN Matunggong selama dua penggal dan Setiausaha Agung Parti Bersatu Sabah (PBS) itu dijangka mempertahankan kerusi itu pada Pilihan raya negeri (PRN) akan datang.

Bagaimanapun, berbeza dengan senario politik dua penggal yang lalu yang menyaksikan Julita menang mudah di DUN Matunggong, pemerhati politik kali ini meramalkan penyandang itu bakal menerima tentangan yang hebat daripada beberapa tokoh parti pembangkang, terutama Timbalan Presiden parti KDM Datuk Wetrom Bahanda.

Aktivis Sosial dan Penganalisis Politik, Dr Kanul Gindol berkata berdasarkan keputusan PRU bagi kawasan Parlimen Kota Marudu lepas yang menyaksikan DUN Matunggong memberi sokongan kuat kepada KDM, beliau meramalkan Wetrom besar kemungkinan akan bertanding di DUN Matunggong.

“Jika ini berlaku, saya jangka akan berlaku pertembungan sailang yang bakal menghangatkan suhu politik PRN akan datang, “ katanya menambah ia perlawanan “kalau menang, menanglah, kalau kalah kalahlah”.

Kanul berkata ramai berpendapat pengaruh Wetrom menyaingi pengaruh Julita di Matunggong lebih-lebih lagi ketika Wetrom dan KDM dianggap masih sedang meningkat berbanding Julita dan PBS diperkira ramai sebagai sedang menurun.

“Saingan sengit Wetrom-Julita di kerusi Rungus Matunggong sudah tentu diwarnai faktor-faktor seperti rekod khidmat masyarakat mereka, pautan dengan parti Malaya, latar belakang agama serta peranan satu lagi parti lokal iaitu Warisan.

“Walaupun kedudukan seperti 50-50 bagi kedua-dua bakal calon, tidak mustahil Wetrom akan sekali lagi membuat kejutan pada PRN Sabah seperti ketika dia menang DUN Bandau dan kemudian pada PRU di kerusi parlimen Kota Marudu,” tegas Dr Kanul.

Menurutnya aura dan karisma kedua-dua Wetrom dan Julita akan benar-benar teruji kali ini di Matunggong ketika sentimen parti lokal sedang memuncak, manakala Barisan Nasional yang sebelum ini diwakili PBRS bertarung dengan sentimen anti-parti Malaya.

Pada pilihanraya negeri 2020, Matunggong menyaksikan pertarungan lapan penjuru dengan tiga parti menerima undian terbanyak iaitu PBS, BN dan PKR.

Julita menang dengan mendapat 4,369 undi, diikuti Richard Kastum (BN/PBRS) 2,859, Sazalye Donol Abdullah (PKR) 1,680, Dr Paul Porodong (Bebas) 1,069, Sarapin Magana (PCS) 843, Hibin Masalin (Gagasan) 223, Joseff Emmanuel (Bebas) 51 dan seorang lagi calon Bebas, Ronald Tampasok, 82 undi.

Bagaimanapun pada PRU15 pada 2022 di kerusi Kota Marudu, Wetrom menjadi “giant killer” apabila menumbangkan Presiden PBS di sana Datuk Dr Maximus Ongkili dengan majoriti besar 8,174 undi.

Menurut Dr Kanul, pencapaian Wetrom ini dianggap luar biasa kerana ketika menggunakan lambang KDM, beliau hanya beberapa hari menyertai parti itu.

Pada 2022, Wetrom mendapat 24,318 undi, Dr Maximus 16,144, Jilid Kuminding @ Zainuddin (Warisan) 5,320, Sharizal Denci (Muda) 3,225, Norman Tulang (Bebas) 660 dan Mohd Azmi Zulkiflee (Pejuang) 279.