PRN JOHOR: WARISAN bukan mengganggu undi pembangkang – Shafie

JOHOR: Kehadiran Parti Warisan (WARISAN) menyertai Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor adalah memberikan pilihan kepada rakyat, bukannya untuk mengelirukan ataupun memecahkan undi.

Presidennya, Datuk Seri Mohd Shafie Afdal berkata, Warisan memberi pilihan naratif baharu khususnya dengan keadaan landskap politik yang sangat dinamik pada masa ini.

Katanya, rakyat Malaysia hari ini sangat kecewa terhadap kerajaan Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN), mahupun kerajaan Pakatan Harapan (PH).

“Rakyat sudah mula bosan dengan senario politik yang berlaku dan negara Malaysia perlukan kestabilan, sama ada daripada segi kerajaan yang mentadbir atau dari segi kekuatan ekonomi.

“Penglibatan Warisan di PRN Johor pada kali ini, rakyat sebenarnya diberikan peluang untuk membuat pilihan lain yang lebih baik di dalam pilihan raya.

“Kita harus berlaku adil… Kita perlu memberikan pilihan kepada rakyat. Pilihan untuk memilih parti yang mendengar, yang memperjuangkan perpaduan dan boleh membuat perubahan demi kelangsungan kehidupan rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan media hari ini.

Beliau mengulas kenyataan media Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng kononnya kehadiran Parti Warisan (WARISAN) menyertai Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dilihat hanya mahu mengganggu undi pembangkang dan bukannya untuk mendapatkan kemenangan.

Menurut Guan Eng walaupun DAP hormat hak serta keputusan WARISAN untuk bertanding, namun ia seolah-olah memberi laluan mudah kepada Barisan Nasional (BN).

Shafie berkata, kebanyakkan parti di Malaysia ini sudah runcing kesepaduannya serta pecah belah, bergaduh sesama sendiri dan perebutan dalam parti nampaknya semakin parah.

“Saya rasa sudah sampai masa dan ketika, di mana rakyat sepatutnya diberikan peluang untuk membuat pilihan yang lebih baik. Bagaimana pula dengan rakyat yang dihimpit kesusahan serta terkesan terus akibat dari pandemik yang masih melanda dunia pada ketika ini.

“Kesejahteraan dan kelestarian rakyat harus menjadi keutamaan parti yang bertanding bagi memastikan kestabilan ekonomi untuk rakyat dapat dicapai. Pakatan dan perikatan yang mereka cuba pertahankan sekarang kucar kacir dan mencapai kebuntuan.

Pada pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, 12 Mac ini, Parti Warisan Sabah (WARISAN) mengumumkan bertanding enam kerusi termasuk Hishamuddin Busri (Pekan Nanas), Sandara Segaran Arumugam (Bekok), Mohamed Noor Suleiman (Mahkota), Chen Hain Kai (Johor Jaya), Lew Ming Wen (Bukit Batu) dan Mohamed Ridza Busu (Permas).