SEREMBAN: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) mengulangi pendirian untuk memberikan sokongan penuh kepada Kerajaan Perpaduan dibawah pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Justeru itu, pada Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri ini, Ketua Menteri selaku Pengerusi GRS, Datuk Seri Hajiji Noor menyatakan sokongan kepada calon gabungan Pakatan Harapan – Barisan Nasional yang mewakili Kerajaan Perpaduan.
“GRS mengisytiharkan sokongan penuh kepada Kerajaan Perpaduan kerana ia adalah platform terbaik bagi Malaysia dengan penduduknya berbilang kaum untuk maju ke hadapan,” katanya pada perjumpaan bersama pengundi Sabah yang akan mengundi pada PRN ini di sini, malam tadi.
Turut hadir ialah Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas) Datuk Armizan Mohd Ali dan Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan Sabah Phoong Jin Zhe.
Pada program itu, Hajiji meminta rakyat Sabah yang mengundi pada PRN di Negeri Sembilan, Selangor, Pulau Pinang, Kedah, Kelantan dan Terengganu pada 12 Ogos depan supaya memilih calon mewakili Kerajaan Perpaduan.
Katanya sokongan rakyat Sabah terhadap calon mewakili Kerajaan Perpaduan penting bagi mengekalkan amalan politik yang dinamik.
“Amat penting bagi pengundi Sabah, khususnya yang mengundi pada PRN di enam negeri di Semenanjung untuk memilih calon Kerajaan Perpaduan bagi mengekalkan dinamik politik demi masa depan yang lebih baik,” kata Hajiji.