5 lelaki ditahan bantu kes gaduh di Putatan

PENAMPANG: Polis menahan lima lelaki bagi membantu siasatan berhubung pergaduhan sehingga menyebabkan kematian lelaki di Putatan, di sini, semalam.

Pemangku Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superintendan Sammy Newton berkata, kejadian dilaporkan berlaku pada 27 Julai lalu.

Katanya, hasil siasatan awal mendapati, ketika kejadian semua lelaki terbabit dipercayai berada di bawah pengaruh alkohol dan berlaku perselisihan faham sehingga mencetuskan pergaduhan.

“Insiden berkenaan menyebabkan seorang lelaki yang turut terlibat meninggal dunia selepas pulang ke rumahnya.

“Mangsa berusia 28 tahun disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan dan mayat dihantar ke Hospital Queen Elizabeth I (HQEI) untuk tujuan bedah siasat,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Polis masih menunggu laporan bedah siasat bagi mengetahui punca sebenar kematian.