PPM tumpaskan penyelewengan minyak sawit mentah cecah RM2.2 juta

LAHAD DATU : Pasukan Polis Marin (PPM) menumpaskan sindiket penyelewengan minyak sawit mentah (CPO) menyerbu sebuah premis tidak berlesen di Batu 15, Jalan Lahad Datu – Sandakan, di sini semalam.

Komander PPM Wilayah 4 Sabah, ACp Mohd Nazri Ibrahim berkata, pasukan operasi merampas 77,590 kilogram CPO bersama dua lori, sebuah van serta satu tangki simpanan dengan nilai rampasan keseluruhan dianggarkan mencecah RM2.28 juta.

Katanya, enam individu termasuk seorang warga asing berusia antara 20 hingga 53 tahun turut diberkas bagi membantu siasatan dalam serbuan kira-kira jam 12.50 tengah hari semalam.

“Kes ini akan disiasat mengikut Peraturan 5(1)(b), Peraturan-Peraturan Lembaga Minyak Sawit Malaysia 2005 kerana memiliki dan menyimpan minyak sawit tanpa kebenaran sah.

“Kejayaan ini adalah antara rampasan terbesar tahun ini dan membuktikan komitmen berterusan PPM dalam membanteras aktiviti penyelewengan komoditi negara,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Mohd Nazri berkata, sejak Januari lalu nilai keseluruhan rampasan berkaitan minyak sawit yang direkodkan PPM sudah mencecah RM15 juta.

“Kita menyeru orang ramai untuk terus menyalurkan maklumat berhubung sebarang aktiviti mencurigakan bagi membolehkan tindakan segera diambil.

“PPM Wilayah 4 Sabah akan terus mempergiat operasi penguatkuasaan demi memastikan keselamatan dan kestabilan ekonomi negara sentiasa terpelihara,” jelas Mohd Nazri.