TAWAU: Seorang lelaki warga asing ditahan disyaki percayai terlibat dalam kegiatan kes pecah rumah dalam satu serbuan di kawasan perumahan di Jalan Kuhara, hari ini.
Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Jasmin Hussin berkata, suspek berumur 39 tahun itu bertindak cuba melarikan diri ke bahagian dapur selepas pihak polis memperkenalkan diri sehingga terjadi sedikit pergelutan diantara mereka.
Katanya, polis bertindak atas maklumat melakukan serbuan kira-kira jam 1.30 awal pagi tadi mendapati rumah suspek tidak berkunci, melihat suspek sedang duduk di bahagian ruang tamu rumahnya.
“Pemeriksaan lanjut di rumah suspek, polis menemukan pelbagai barangan dipercayai mempunyai hubung kait dengan kes pecah rumah yang dilaporkan sebelum ini di sekitar kawasan bandar Tawau.
“Antaranya telefon bimbit, beberapa keping kad pengenalan (MyKad), pelbagai jenis dompet, dokumen perjalanan (Pasport), lesen memandu serta kad bank serta beberapa helai pakaian,” katanya dalam kenyataan, di sini.
Jasmin berkata, suspek akan disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tinggal di Malaysia tanpa pas atau permit yang sah.