KOTA KINABALU: Polis berjaya menumpaskan satu sindiket pengedaran dadah di sekitar daerah ini selepas menahan dua individu dan merampas dadah jenis syabu bernilai RM110,000 dalam satu serbuan di Suria Inanam dekat sini semalam.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu ACP Mohd Zaidi Abdullah berkata serbuan kira-kira pukul 2.40 petang itu dijalankan hasil maklumat dan risikan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu.
“Dalam serbuan itu, kita berjaya menahan dua lelaki berumur 30 dan 32 tahun, hasil pemeriksaan berjaya menemukan tiga bungkus plastik berisi hablur jernih dipercayai dadah jenis syabu seberat dianggarkan 3,019.25 gram.
Mohd Zaidi berkata siasatan awal mendapati kedua-dua suspek tidak mempunyai pekerjaan tetap dan dipercayai menjadi dalang sindiket pengedaran dadah rentas sempadan dengan upah antara RM1,000 hingga RM5,000.
“Kedua-dua suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau namun, ujian saringan air kencing mendapati seorang daripada mereka positif dadah, kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 15(1)(a) akta yang sama,” katanya.
— BERNAMA