PENAMPANG: Tiada pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) membabitkan sektor perkilangan di daerah ini dan Putatan sepanjang Op Patuh dilaksanakan, hari ini.
Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Mazli Mazlan berkata, polis bersama beberapa agensi kerajaan lain sentiasa menjalankan pemeriksaan dari semasa ke semasa dalam usaha memastikan penularan pandemik Covid-19 dapat dilandaikan.
“Setakat ini, kita mendapati premis perkilangan di daerah ini mematuhi SOP dan tiada kompaun dikeluarkan sepanjang operasi ini dilakukan.
“Kita juga tidak menerima sebarang aduan membabitkan kesalahan SOP di kilang-kilang sekitar daerah ini,” katanya selepas menjalankan pemeriksaan kilang di sekitar Penampang dan Putatan disiarkan dalam portal Harian Metro hari ini.
Operasi itu turut membabitkan seramai 54 pegawai dan anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang, Keselamatan Dalam Negeri dan Majlis Daerah Penampang (MDP).