PM luluskan peruntukan kecemasan kerja selenggara jalan, bina jambatan baharu di Kampung Salinatan – Arthur

NABAWAN: Perdana Menteri telah bersetuju untuk meluluskan peruntukan kecemasan bagi pelaksanaan kerja-kerja penyelenggaraan jalan dan membina baharu jambatan yang telah putus di Kampung Salinatan.

Ahli Parlimen Pensiangan Datuk Arthur Joseph Kurup berkata setelah Pejabat Daerah Nabawan siap mengumpulkan laporan kerosakan akibat bencana itu, beliau telah berjumpa dengan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 14 September lepas bagi membentangkan laporan tersebut merangkumi kerosakan dan anggaran kos pembaikan yang diperlukan.

Katanya hasil daripada pertemuan tersebut serta keprihatinan Perdana Menteri, beliau telah bersetuju untuk meluluskan peruntukan kecemasan itu.

‘Sebagai pemimpin yang sentiasa membawa suara rakyat dari kawasan pedalaman Sabah, saya amat bersimpati dengan kejadian bencana alam yang berlaku.

“Saya akan berusaha dengan sedaya upaya sebagai bagi mempercepatkan kerja-kerja pembaikan jalan untuk kemudahan masyarakat di kawasan tersebut,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Lebih 300 penduduk mendiami empat perkampungan di Pensiangan terputus bekalan makanan hampir seminggu berikutan laluan utama ke kawasan itu tidak boleh dilalui akibat tanah runtuh.

Ketua Anak Negeri Mukim Pensiangan, Atar Andipoh berkata, sebanyak 76 keluarga terjejas akibat kejadian yang berlaku di sepanjang jalan dari daerah itu menuju ke Salinatan pada 5 September lalu.

Arthur yang juga Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi berkata sebaik menerima aduan bencana alam pada 5 September lepas dari seorang penduduk dari kampung Salinatan, beliau mengambil tindakan segera.

Katanya Pegawai Daerah Nabawan turun ke lokasi tanah runtuh di Kampung Salinatan dan pasukan teknikal meninjau situasi semasa di samping menyediakan laporan berkenaan kerosakan dan anggaran kos yang diperlukan untuk kerja pembaikan.

Menurutnya hasil daripada tinjauan oleh Pegawai Daerah Nabawan, mendapati berlaku kerosakan jalan di Jalan Panabaan – Pensiangan yang berpunca daripada bencana alam akibat hujan lebat yang tidak diduga dan telah mengakibatkan kejadian tanah runtuh di beberapa lokasi sepanjang jalan tersebut sehingga jalan utama tidak boleh dilalui oleh semua jenis kenderaan.

“Pihak Pejabat Daerah Nabawan bersama-sama Jabatan Kerja Raya (JKR) Nabawan telah melaksanakan penyelenggaraan sementara dengan serta merta agar penduduk kampung dapat menggunakan jalan utama tersebut dan telah menambah kekuatan jentera berat yang beroperasi pada 8 September lepas.

“Sebagai Ahli Parlimen Pensiangan, saya sentiasa memantau situasi di kawasan kejadian dan telah mencadangkan kepada Pejabat Daerah Nabawan agar lokasi sekitar kejadian bencana ini diisytiharkan sebagai kawasan bencana supaya Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dapat menghulurkan bantuan segera,” katanya.

Dalam pada itu, beliau juga berterima kasih kepada semua yang telah menghulurkan bantuan kecemasan dan turut mengalu-alukan sekiranya terdapat mana-mana pihak yang ingin menghulurkan bantuan supaya dapat berhubung dengan Pegawai Daerah Nabawan selaku Pengerusi Jawatankuasa Bencana Daerah bagi tujuan penyelarasan serta memastikan bantuan tersebut sampai kepada penerima.