Generasi muda harus fahami kembali erti kemerdekaan

KUALA PENYU: Generasi muda kini seharusnya memahami kembali erti kemerdekaan sebenar supaya mampu bangkit sebagai insan berkualiti.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO bahagian Beaufort AK.Mohd Yazri Ak.Mohd Yahya berkata, ini memerlukan mereka menerima hakikat keamanan dan kemakmuran negara yang dikecapi hari ini tidak akan tercapai tanpa pengorbanan pemimpin terdahulu.

Katanya kemajuan yang mereka nikmati hari ini sering mengalpakan mereka tentang sejarah perjuangan pemimpinan terdahulu dalam membebaskan negara dari tangan penjajah sehingga negara mencapai dan mengisi makna sebuah negara yang merdeka.

“Pengaruh dan ledakan kemajuan teknologi maklumat masa kini menyebabkan sebilangan anak muda lalai. Perubahan ini menjadikan anak muda semakin kurang peka kepada keadaan sekeliling dimana pengaruh digital dan media sosial sedikit sebanyak menyebabkan anak muda menjadi individualistik.

“Ia turut memberikan kesan negatif terhadap nilai patriotik terhadap negara,” katanya ketika menutup Kejohanan Liga Persahabatan Bola Sepak Kuala Penyu sempena sambutan Hari Malaysia di Padang Pekan Kuala Penyu kemarin.

Sehubungan itu, Ak Mohd Yazri mengingatkan generasi muda agar tidak lalai dan memanfaatkan sebaik mungkin kemajuan dunia digital masa kini untuk kebaikan terutamanya dalam menyampaikan berita yang berfakta dan memberikan manfaat untuk dikongsi oleh masyarakat.

Menurutnya tidak dinafikan pengaruh media sosial menjadi ancaman baharu perpaduan masyarakat berbilang kaum di negara ini berikutan tindakan pihak tidak bertanggungjawab menggunakannya untuk menyebarkan cerita tidak benar yang boleh menjejaskan keharmonian

Katanya, masyarakat terutamanya generasi muda tidak boleh tunduk dan terpengaruh dengan ideologi yang bertujuan menyemai kebencian dan syak wasangka antara kaum dan budaya di negeri dan negara ini kerana keadaan itu hanya mensia-siakan pengorbanan orang yang berjuang untuk kemerdekaan dan kedaulatan negara.

Dalam pada itu, Ak Mohd Yazri mahu agar setiap cawangan pemuda UMNO dapat merangka serta melaksanakan pelbagai program yang boleh menari minat anak muda dimana ini akan memberikan mereka peluang dan tanggungjawab untuk turut serta dalam jawatankuasa kerja .

“Ini sudah tentu dapat membentuk budaya kerja berpasukan disamping boleh menyamai semangat perpaduan eleman penting untuk kita mencapai kemajuan,” katanya.

Menurut beliau Pergerakan Pemuda UMNO bahagian Beaufort sentiasa menyokong sebarang usaha atau program yang dilakukan oleh golongan muda di kawasan ini termasuklah kegiatan sukan, kebajikan dan sebagainya.

Dalam kejohanan tersebut pasukan Tanjung Aru FC muncul sebagai juara pasukan Kitang FC naib juara sementara pasukan Tempur FC menduduki tempat yang ketiga.