MA63: Banyak kejayaan dicapai Kerajaan GRS sejak dua tahun lalu

KOTA KINABALU: Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) mencapai banyak kejayaan menerusi perjuangan menuntut hak Sabah dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) sepanjang dua tahun pertama pemerintahannya.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor, berkata beberapa pencapaian penting dilakar kerajaan negeri berhubung dengan isu MA63 termasuk dalam sektor minyak dan gas.

Katanya, Kerajaan Negeri akan memanfaatkan sepenuhnya persefahaman dan hubungan baik dengan kerajaan persekutuan dalam memastikan perjanjian penubuhan Malaysia dapat dilaksanakan sepenuhnya.

Beliau berkata, Kerajaan GRS juga bekerja keras untuk mengukuhkan kestabilan politik dan perpaduan di Sabah.

“Beberapa kejayaan yang dicapai Kerajaan Negeri dalam tempoh lebih dua tahun melalui Pelan Pembangunan Hala Tujuh Sabah Maju Jaya (SMJ) dalam sektor pembangunan ekonomi yang mana perdagangan Sabah pada tahun lalu mencapai rekod tertinggi dalam sejarah iaitu bernilai RM118.1 bilion berbanding RM 87.2 billion pada tahun 2021.

“Peningkatan sebanyak 35.4 peratus ini adalah disebabkan pertumbuhan ekonomi yang positif sejak kebelakangan ini dan saya yakin, nilai perdagangan kita akan terus meningkat naik.

“Sabah juga berjaya menarik lebih daripada RM33 bilion pelaburan dan memperoleh hasil RM7 bilion. Ini adalah pencapaian yang tertinggi sejak kita mencapai kemerdekaan,” katanya dalam ucapan Majlis Sambutan Hari Malaysia Peringkat Negeri Tahun 2023 di Padang Merdeka, di sini, malam ini.

Teks ucapan beliau dibacakan Timbalan Ketua Menteri II yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri, Datuk Seri Panglima Dr Joachim Gunsalam.

Hadir sama Yang di-Pertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin, Timbalan Ketua Menteri III, Datuk Ir Shahelmey Yahya, peaker DUN Sabah Datuk Kqdzim M Yahya dan Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri selaku Pengerusi Jawatankuasa Penganjur Sambutan Hari Malaysia Peringkat Negeri Datuk Christina Liew.

Ketua Menteri berada di Kuching, Sarawak selaku tuan rumah sambutan Hari Malaysia Peringkat Kebangsaan pada tahun ini yang turut dihadiri Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada malam ini.

Hajiji berkata usaha-usaha ini akan giat dipertingkatkan lagi termasuk meningkatkan peluang pelaburan yang boleh memanfaatkan pelbagai sektor pembangunan di Sabah.

Beliau berkata, kerajaan negeri tidak pernah berpuas hati dengan pencapaian yang diperolehi setakat ini.

Malah, katanya, akan terus membawa pembangunan dan kemajuan termasuk berusaha menyelesaikan isu serta masalah yang dihadapi rakyat sejak sekian lama di negeri ini.

Katanya, setelah genap 60 tahun pembentukan Malaysia, tidak dinafikan Sabah mengecapi banyak pembangunan dan kemajuan dalam pelbagai aspek.

Jelasnya, proses pembentukan Malaysia pada 1963 bukanlah berlaku dalam sekelip mata, sebaliknya ia adalah atas segala usaha dan keringat pemimpin ketika itu yang menempuh pelbagai liku, rintangan dan cabaran untuk merealisasikannya.

Justeru katanya, menjadi tanggungjawab setiap rakyat Malaysia untuk mempertahankan kedamaian, keharmonian dan kemakmuran yang dikecapi kini.

“Kesatuan dan perpaduan antara rakyat menjadi kunci kepada kejayaan negara. Perpaduan juga aset paling penting dalam memperkukuh kedaulatan dan keamanan negara yang mempunyai masyarakat majmuk,” katanya.

Hajiji berkata, sambutan Hari Malaysia 2023 bertemakan ‘Malaysia Madani, Tekad Perpaduan Penuhi Harapan’, adalah aspirasi tekad dan komitmen pemimpin bersama rakyat sebagai sebuah negara bangsa yang memiliki semangat perpaduan yang tinggi, bersatu-padu dan kehidupan yang aman serta sejahtera.