PKP: Bekalan makanan di Sabah lebih daripada mencukupi

KOTA KINABALU (Bernama): Kerajaan Sabah memberi jaminan bekalan makanan dan pertanian di negeri ini lebih daripada mencukupi untuk memenuhi permintaan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang berakhir 14 Jun ini.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Dr Jeffrey Kitingan berkata, malah bekalan makanan utama seperti beras mampu memenuhi permintaan rakyat Sabah untuk tempoh enam bulan lagi.

“Stok beras terkini di pemborong dan kedai runcit ialah 12,528 metrik tan (MT) sementara stok penimbal berada pada 49,500 MT, kita juga mempunyai stok kemasukan kapal sebanyak 12,528 MT.

“Ini tidak termasuk beras wangi, beras pulut dan beras basmati. Rata-rata penggunaan di Sabah adalah kira-kira 12,000 MT beras setiap bulan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Selain itu, Jeffrey yang juga Menteri Pertanian dan Perikanan Sabah turut memaklumkan bekalan sayur-sayuran dan buah-buahan juga mencukupi dengan tiga Taman Pengeluaran Makanan Kekal di Kundasang, Putatan dan Lahad Datu beroperasi seperti biasa mengeluarkan produk yang diperlukan.

Selain itu, katanya produk perikanan serta bekalan daging lembu, daging kerbau, ayam, daging khinzir, telur, dan susu, juga mencukupi sepanjang tempoh PKP ini.

“Sebagai menteri yang bertanggungjawab terhadap kementerian yang mengawal selia produk pertanian, saya ingin meyakinkan pengguna-pengguna di Sabah bahawa kita tidak akan kekurangan makanan,” katanya.

SabahNewsToday

Leave a Reply