PKP 3.0: Perkhidmatan Awam negeri Sabah beroperasi seperti biasa

KOTA KINABALU (Bernama): Kerajaan Sabah mengarahkan semua kementerian, jabatan, badan berkanun negeri, agensi kerajaan negeri, dan pihak berkuasa tempatan (PBT) beroperasi seperti biasa sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) selama 14 hari bermula hari ini.

Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah Datuk Safar Untong berkata sepanjang tempoh itu semua operasi dijalankan hendaklah mematuhi Standard Operasi Prosedur (SOP) bagi mencegah COVID-19.

Katanya sepanjang tempoh itu juga kerajaan Sabah mewajibkan dan memperluaskan penggunaan aplikasi dalam talian untuk meminimakan kehadiran pelanggan di kaunter dan pejabat kerajaan.

“Sehubungan itu 60 peratus penjawat awam daripada setiap organisasi akan bertugas di pejabat masing-masing, manakala 40 peratus bekerja dari rumah (BDR) mengikut jadual penggiliran yang disediakan.

“Penjadualan kerja hendaklah mengambil kira perkhidmatan perlu, kebajikan, keselamatan dan penggiliran…Ketua Jabatan diberi kuasa untuk menentukan penggiliran kakitangan,” katanya dalam kenyataan malam tadi.

Safar berkata sepanjang tempoh itu juga kerajaan negeri tidak membenarkan sebarang kursus, seminar dan latihan secara bersemuka diadakan.

SabahNewsToday

Leave a Reply