KOTA KINABALU: Lebih 150 peserta dari seluruh Sabah termasuk Labuan, Keningau, Beaufort, Sipitang, Tawau, Sandakan, Kinabatangan dan Lahad Datu telah mendaftar untuk menyertai Pesta Memancing Sepanggar 2026.
Program yang akan berlangsung pada 17 Mei di Jetty ODEC, Universiti Malaysia Sabah (UMS) tu menyasarkan penyertaan sehingga 350 peserta.
Acara berkenaan menawarkan hadiah keseluruhan RM16,100 termasuk hadiah utama RM10,000 serta cabutan bertuah seperti motosikal dan peralatan elektrik.
Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah, Datuk Jamawi Jaafar dijangka merasmikan pelepasan peserta.
“Ini merupakan satu acara memberi peluang pemancing merasai sendiri memancing di kawasan laut yang jarang dianjurkan di sekitar perairan Sepanggar.
“Kita minta lebih ramai lagi peserta turut serta dalam program ini kerana sebahagian yuran peserta kita sumbang kepada Dapur Siswa Universiti Malaysia Sabah (UMS),” kata Jamawi.
Beliau berkata demikian ketika menerima kunjungan hormat Jawatankuasa Penganjur Program Pesta Memancing Sepanggar UMS 2026, di sini hari ini.
“Sebahagian yuran penyertaan akan disalurkan kepada Dapur Siswa UMS sebagai inisiatif kebajikan,” kata Jamawi.
Majlis penutupan akan disempurnakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak), Datuk Mustapha Sakmud.
