Peruntukan bukan rasuah, jika menyokong kerajaan dapatlah – Ahli Parlimen Labuan

KUALA LUMPUR : Ahli Parlimen Labuan Datuk Suhaili Abdul Rahman menafikan dakwaan peruntukan diterima sebagai rasuah, sebaliknya wakil rakyat yang menyokong kerajaan sememangnya berhak mendapat dana itu.

“Mana mungkin peruntukan kerajaan jadi rasuah, tak mungkinlah.

“Bila kita sokong kerajaan, dasar kerajaan, inisiatif kerajaan, maka kita layak dapat apa wakil rakyat kerajaan dapat, itu sahaja. Saya tak faham di mana unsur rasuah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Suhaili mengulas tindakan Ahli Parlimen Arau Shahidan Kassim yang akan membawa usul berhubung dakwaan kerajaan mengamalkan rasuah kerana cuba menarik sokongan Ahli Parlimen pembangkang dengan memberikan peruntukan kepada mereka.

Beberapa portal dalam talian melaporkan Ahli Parlimen Labuan mengesahkan menerima peruntukan selepas seminggu mengisytiharkan sokongan kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim pada 30 Okt lalu.

Sehingga kini empat wakil rakyat pembangkang daripada Bersatu termasuk Suhaili menyatakan sokongan terhadap pentadbiran Anwar.