Tindakan Ahli Parlimen beralih sokongan untuk dapatkan peruntukan perlu dihentikan – Mohd Shafie Apdal

KOTA KINABALU : Tindakan beberapa Ahli Parlimen yang menyatakan sokongan terhadap kepimpinan lain sepatutnya harus dihentikan segera.

Presiden Parti Warisan (Warisan) Datuk Seri Mohd Shafie Apdal beliau menegaskan Akta Anti Lompat yang diluluskan sebelum ini harus diteliti semula untuk ditambah baik.

Katanya, undang -undang sudah ada dan jangan dicemarkan sekali gus perlu diperhalusi dalam tempoh terdekat.

Katanya ini memerlukan lihat semula dari segi sistem, ada penambahbaikan bagi menghindar rakyat teraniaya.

“Keadaan itu dilihat sebagai satu budaya yang kurang sihat dan menjadi peringatan kepada pengundi kerana ia menjadikan politik negara tidak stabil di mana ia masih berlaku sehingga kini.

“Secara jujurnya secara personal, saya tidak patut mengalakkan mereka sebab apa pun yang penting bagi kita ialah mandat rakyat, kalau mereka kata kepentingan rakyat itu alasan saja.

“Ini satu keadaan sistem demokrasi yang kita tidak galakkan di negara ini, saya yakin ini satu amalan yang kurang sihat yang harus dihentikan sama ada pihak yang menerima atau pihak yang melakukannya,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Beliau mengulas tindakan beberapa Ahli Parlimen dari Perikatan Nasional (PN) yang menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Antara mereka adalah Ahli Parlimen Labuan Datuk Suhaili Abdul Rahman dan Ahli Parlimen Gua Musang Mohd Azizi Abu Naim.

Mereka menyatakan keputusan diambil bagi membolehkan mereka mendapat peruntukan daripada Kerajaan Persekutuan untuk kebaikan rakyat di kawasan mereka wakili.

Mohd Shafie yang juga Ahli Parlimen Semporna menyifatkan tindakan itu umpama rasuah.

Katanya jangan hanya ambil tindakan orang yang ambil rasuah, ambil juga tindakan yang memberi rasuah untuk menghindar keadaan itu tidak berlarutan dan budaya ini tidak kelihatan di banyak negara.

Mohd Shafie yakin bahawa peruntukan untuk kawasan pembangkang tetap disalurkan kepada kawasan masing-masing.

“Saya yakin setiap kawasan parlimen akan ada peruntukan yang disalurkan dalam Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12).

“Maknanya peruntukan untuk pendidikan, kesihatan, bekalan elektrik, jalan raya memang sudah ada dalam RMK-12 bukan bererti setiap kawasan parlimen akan ketinggalan tidak diberi peruntukan,” tegas Mohd Shafie.