15 premis makanan diperiksa, 9 kompuan dikeluarkan ke atas pelbagai kesalahan – Robert

KOTA KINABALU: Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) memeriksa 15 premis makanan selepas didapati gagal memasang perangkap lemak serta kawalan tikus mengikut spesfikasi dibenarkan dalam operasi di sekitar Komplekas Sinusuran di sini, hari ini.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) DBKK, Robert Lipon berkata, pemeriksaan tersebut mengeluarkan tiga kompuan kepada pemilik premis yang didapati mempunyai saluran paip haram dengan mengalirkan air sisa paip dapur terus ke parit awam.

Kakitangan DBKK menjalankan kerja-kerja pembersihan.

Katanya, hasil pemeriksaan mendapati premis perniagaan terbabit tidak memasang perangkap lemak mengikut spesifikasi yang ditetapkan sehingga mengakibatkan pencemaran di kawasan terbabit.

“Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran dari jabatan Kesihatan Persekitaran DBKK yang menjalankan operasi hari ini juga mendapati beberapa premis perniagaan terbabit gagal menyediakan perangkap lemak mengikut spesifikasi yang telah ditetapkan oleh Mayor DBKK.

Kakitangan DBKK menjalankan kerja-kerja pembersihan.

“Kita juga mengeluarkan satu kompaun kepada premis yang didapati tidak memiliki sijil kesihatan yang sah semasa pemeriksaan dijalankan oleh pihak Jabatan Kesihatan Persekitaran DBKK hari ini, Pemeriksaan ini akan terus dijalankan bagi memastikan semua premis perniagaan mematuhi arahan yang ditetapkan,” katanya kepada Sabah News Today.

Robert berkata, dalam tempoh sama pihaknya juga mengeluarkan enam kompaun pelbagai kesalahan terhadap premis perniagaan semasa operasi dijalankan di sekitar Kompleks Sinsuran hari ini.

Kakitangan jabatan Kesihatan Persekitaran DBKK menjalankan kerja-kerja pemantauan di sekitar Kompleks Sinsuran di Kota Kinabalu.

“Tindakan lanjut, DBKK mengarahkan agar premis yang mempunyai paip saluran haram ke parit awam untuk memutuskan serta menutup saluran terbabit kemudian terus mengalirkan ke grease trap sebelum masuk ke manhole.

“Mana-mana premis yang tidak terdapat saluran haram ke parit awam dinasihatkan agar untuk mengambil langkah memastikan tiada sebarang paip haram dibuat.

“Manakala premis perniagaan yang gagal memasang perangkap lemak diberi tempoh 14 hari mengikut tarikh tempoh kompaun untuk membaiki dan memasang perangkap lemak,” jelas Robert.

Kakitangan jabatan Kesihatan Persekitaran DBKK menjalankan pemeriksaan di premis makanan di sekitar Kompleks Sinsuran.

Mengulas mengenai aktiviti kawalan tikus di sekitar Kompleks Sinsuran, Robert berkata, pihaknya akan melakukan pemeriksaan sebulan sekali dengan memberi tumpuan kepada kawasan awam termasuk di sekitar lorong belakang premis perniagaan berkenaan,

“Tumpuan kita adalah sekitar kawasan seperti bekas refuse chute yang telah ditutup terdapat downpipe dari tingkat atas mengalirkan sisa-sisa makanan dan sekitar kawasan rumah sampah.

Kakitangan jabatan Kesihatan Persekitaran DBKK menjalankan pemeriksaan di sekitar kawasan Kompleks Sinsuran.

“Kita akan memberi keutamaan kawasan ini berikutan terdapat kesan urungan tikus seperti najis dan lubang tikus pada kawasan refuse chute serta kawasan tanaman hiasan landskap berhampiran rumah sampah,” tambah Robert.

Menurutnya, setakat bulan Oktober tahun sebanyak 178 ekor tikus ditemui mati dan dilupuskan di kawasan Sinsuran menyebabkan tumpuan pemeriksaan akan diberikan pada setiap masa.