SANDAKAN : Sebanyak 864 kilogram
produk sejuk beku dianggarkan bernilai RM17,302 telah disita kerana dipercayai disimpan bercampur dengan produk tidak halal dalam satu operasi Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), di sebuah premis di Batu 9 hari ini.
Ketua Pegawai Penguatkuasa Daerah KPDN Cawangan Sandakan, Azdy Zukkry John berkata, produk dipercayai daging ayam, itik dan babi itu telah dirampas di sebuah premis pengimport dan pemborong produk sejuk beku lebih kurang pukul 11 pagi tadi.

Katanya, kesemua produk makanan tersebut ditemui disimpan di dalam sebuah kontena sejuk beku yang sama.
“Dalam serbuan ini, kita telah menemui beberapa kotak yang mengandungi bahagian kaki dan perut dipercayai babi disimpan bersama ayam dan itik.
“Kita akan menghantar sampel ke Jabatan Kimia untuk menentukan sama ada produk tersebut adalah babi sebelum meneruskan tindakan selanjutnya,” katanya selepas mengetuai Operasi Bersepadu Halal di Sandakan.

Operasi bersepadu itu disertai seramai 11 pegawai dari KPDN Cawangan Sandakan, Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sabah dan Pejabat Kesihatan Kawasan Sandakan, Sabah.
Menurut Azdy, kes tersebut akan disiasat di bawah Perintah 3, Perintah Perihal Dagangan (Takrif Halal) 2011.
Katanya, jika sabit kesalahan di bawah
Perintah 5, Perintah Perihal Dagangan (Takrif Halal) 2011, syarikat terlibat boleh didenda tidak melebihi RM5 juta dan bagi kesalahan yang kedua atau berikutnya boleh didenda tidak melebihi RM10 juta.
Manakala, bagi individu pula boleh dikenakan denda tidak melebihi RM1 juta atau dipenjarakan tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.
Beliau berkata pihaknya akan terus menjalankan pemeriksaan dan pemantauan secara bersepadu ke atas premis-premis Pengimport dan Pemborong Produk Sejuk Beku di Sandakan bagi memastikan pematuhan oleh peniaga di bawah Perintah Perihal Dagangan (Takrif Halal) 2011.