Persidangan DUN Sabah: Sektor Perkhidmatan Penyumbang Utama KDNK Sabah

KOTA KINABALU: Sektor perkhidmatan menjadi penyumbang utama pertumbuhan ekonomi Sabah dengan sebanyak RM40.6 bilion atau 49.5 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negeri pada tahun lalu.

Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri Datuk Abidin Madingkir berkata, sektor berkenaan mencatat pertumbuhan 8.6 peratus hasil peningkatan prestasi subsektor utama sekali gus membolehkan Sabah mencatat pertumbuhan ekonomi 3.7 peratus pada tahun lalu.

Beliau berkata, sub sektor utama perkhidmatan merangkumi perdagangan borong dan runcit, makanan dan minuman serta penginapan, diikuti sektor perkhidmatan kerajaan dan utiliti, pengangkutan dan penyimpanan serta maklumat dan komunikasi.

“Pada 2022, KDNK Sabah mencatatkan peningkatan sebanyak 3.7 peratus, berbanding 1.5 peratus pada tahun sebelumnya dengan nilai ditambah sebanyak RM81.9 bilion berbanding RM79.0 bilion pada 2021.

“Pertumbuhan positif ini didorong oleh peningkatan ketara dalam sektor perkhidmatan yang menjadi penyumbang utama kepada KDNK Sabah, iaitu sebanyak 49.5 peratus dengan nilai ditambah sebanyak RM40.6 bilion,” katanya.

Beliau menjawab soalan Datuk Hassan A Gani Pg Amir (GRS – Sebatik) berhubung sektor industri utama yang menyumbang kepada pendapatan Sabah pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, di sini, hari ini.

Abidin berkata, sektor perlombongan dan pengkuarian menjadi penyumbang kedua tertinggi KDNK Sabah pada tahun lalu dengan RM20.3 bilion atau 24.8 peratus, namun mencatat penurunan pertumbuhan kepada negatif 1.3 peratus pada tahun lalu, berbanding 3.2 peratus pada 2021.

“Penguncupan sektor ini dipengaruhi oleh penyusutan subsektor utamanya iaitu minyak mentah dan kondensat kepada negatif 4.4 peratus, manakala subsektor gas asli sebanyak 8.4 peratus,” katanya.

Katanya, sektor pertanian Sabah pula mencatat hasil RM12.5 bilion pada tahun lalu, turut merosot sebanyak negatif 0.2 peratus, namun lebih baik berbanding penyusutan negatif 2.2 peratus yang direkodkan pada 2021.

“Sektor pertanian adalah penyumbang ketiga terbesar di Sabah dengan sumbangan sebanyak 15.2 peratus kepada keseluruhan KDNK Sabah.

“Subsektor tanaman kelapa sawit mendominasi sektor pertanian di Sabah dengan sumbangan sebanyak 9.6 peratus daripada keseluruhan KDNK Sabah, diikuti subsektor perikanan (2.5 peratus), tanaman lain (1.3 peratus) dan ternakan (satu peratus),” katanya.

Sementara itu, katanya, sektor pembuatan juga merekodkan pertumbuhan negatif 2.5 peratus dengan penurunan dalam nilai ditambah kepada RM5.8 bilion pada tahun lalu berbanding RM5.9 bilion tahun sebelumnya.

Katanya, penyusutan dalam sektor itu disebabkan penguncupan dalam subsektor minyak dan lemak daripada sayuran dan haiwan, prosesan makanan, minuman dan produk tembakau serta subsektor produk kayu, perabot, keluaran kertas dan percetakan.

Beliau berkata sektor pembinaan pula bertumbuh pada kadar 6.2 peratus berbanding 7.9 peratus pada tahun sebelumnya dengan nilai ditambah sektor ini mencatat peningkatan kepada RM2.5 bilion berbanding RM2.4 bilion pada 2021.

“Ini disokong oleh prestasi yang konsisten dalam subsektor pembinaan pembangunan, kejuruteraan awam dan aktiviti pembinaan pertukangan khas,” kata Abidin.