Persidangan DUN Sabah: Gangguan bekalan air di Utara Kota Kinabalu dijangka berkurang mulai September ini

KOTA KINABALU: Gangguan bekalan air yang dialami penduduk bandar raya ini, khususnya di utara daerah ini dijangka dapat dikurangkan selepas projek naik taraf Fasa II, Loji Rawatan Air Telibong II siap pada awal bulan depan.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Shahelmey Yahya, berkata penyiapan projek itu dapat membekalkan tambahan air terawat sebanyak 20 peratus atau 16 juta liter sehari (JLH).

Katanya, jumlah itu digunakan untuk menampung keperluan bekalan air di kawasan UITM, SSM, ILP, IKM, UMS, Hospital Likas dan kawasan sekitarnya.

“Tambahan 16 JLH ini yang akan disalurkan ke dalam sistem bekalan air sedia ada dapat mengurangkan masalah gangguan bekalan air di kawasan terbabit sehinggalah Projek Telibong II Fasa II siap sepenuhnya termasuk pemasangan paip-paip baru ke kawasan ini untuk penyelesaian sepenuhnya,” katanya pada Persidangan DUN Sabah, di sini, hari ini.

Beliau yang juga Menteri Kerja Raya negeri menjawab soalan Datuk Darrel Leiking (WARISAN-Moyog) dan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal (WARISAN- Senallang) berkaitan isu air yang dihadapi pengguna di ibu negeri.

Shahelmey berkata, gangguan bekalan air yang sering berlaku khususnya di kawasan utara Kota Kinabalu adalah disebabkan kadar permintaan air terawat melebihi kapasiti loji rawatan air (LRA).

“Permintaan semasa di kawasan ini adalah 221 JLH berbanding kapasiti rekabentuk sedia ada iaitu sebanyak 171 JLH. Kekurangan bekalan ke kawasan ini adalah sebanyak 50 JLH ataupun 29.2 peratus,” katanya.

Beliau menambah, Hospital Likas atau Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Sabah (HWKKS) yang turut terjejas akibat masalah itu mendapat bekalan air melalui LRA Telibong II Fasa I.

Bagaimanapun, katanya, Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) melalui Jabatan Air Daerah Kota Kinabalu sudah mengambil maklum terhadap gangguan bekalan air di kawasan itu dan mengambil tindakan serta-merta.

Katanya, tindakan itu ialah melaksanakan pengawalan injap suis untuk memastikan bekalan air sama rata dan meningkatkan tekanan air ke kawasan yang terlibat khususnya di Hospital Likas.

Menurutnya buat masa ini, masalah gangguan bekalan air di Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Sabah itu sudah dapat diatasi.