KOTA KINABALU : Pertandingan Unduk Ngadau bukan hanya tentang mempamerkan kecantikan malah ia merupakan budaya serta yang perlu terus diperlihara.
Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Redonah Bahanda berkata, ia lebih daripada sebagai sebuah perayaan warisan yang begitu mendalam maknanya.
Katanya ia mempamerkan kecantikan budaya masyarakat Sabah keindahan pakaian tradisional, keluhuran bahasa, keistimewaan makanan tradisi dan pastinya semangat juang yang tidak pernah pudar.
“Kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM13.66 juta tahun ini bagi usaha pemeliharaan warisan budaya dan seni Sabah.
“Ia bagi memastikan warisan seperti pakaian tradisional etnik Sabah bukan sahaja diwarisi oleh generasi kini tetapi juga dilindungi untuk generasi akan datang. Inilah usaha Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor,” katanya di sini semalam.
Redonah berkata, beliau berharap agar budaya ini dapat dikekalkan sekali gus diwarisi dari satu generasi ke generasi yang lain pada masa depan.
“Kita percaya kemajuan tidak harus mengorbankan identiti. Kita boleh membina jalan, internet dan kemudahan tanpa melupakan tarian tradisi dan bunyi gong.
“Kita boleh menuju masa depan, dengan tetap menggenggam sejarah tradisi,” jelas Redonah.