Kerajaan Negeri akan merangka Enakmen Pembangunan Belia Sabah – Hajiji

KOTA KINABALU : Kerajaan Negeri akan merangka Enakmen Pembangunan Belia Sabah menjadikannya platform undang-undang untuk mengukuhkan pengurusan organisasi belia, memperluas pengiktirafan terhadap aktivisme belia dan memastikan ruang yang lebih teratur untuk pembangunan.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata, beliau mahu setiap pemimpin belia diberikan masa, ruang, dan sokongan untuk memimpin dengan yakin dan terus menyumbang kepada negeri tanpa diketepikan akibat perubahan dasar.

Katanya, Kementerian Belia dan Sukan Negeri (KKBS) bersama Majlis Belia Sabah (MBS) diberikan tanggungjawab untuk meneliti perkara ini termasuk isu dasar peralihan umur belia.

“KKBS dan MBS akan melakukan kajian menyeluruh mengenai dasar peralihan umur belia kerana isu ini perlu dikaji secara mendalam, mengambil kira struktur sosial, kematangan organisasi, dan realiti di lapangan, terutamanya di Sabah.

“Pembangunan belia di Sabah akan terus menjadi keutamaan Kerajaan Negeri termasuk menyediakan kemahiran dan alat yang diperlukan untuk memimpin negeri pada masa depan, kata Ketua Menteri,” katanya di sini hari ini.

Hajiji berkata, dibawah pentadbiran GRS-PH, Kerajaan Negeri menunjukkan pencapaian yang membanggakan untuk pembangunan belia.

“Kestabilan politik telah membuka ruang kepada pembangunan berterusan dan dasar berpaksikan rakyat, termasuk dalam aspek pembangunan belia.

“Yang di-Pertua Negeri, Tun Musa Aman dalam ucapan dasar kerajaan turut menekankan bahawa pembangunan belia perlu diberi keutamaan, khususnya dalam kerangka negeri termasuk dalam aspek pendidikan, kemahiran dan kepimpinan,” jelas Hajiji.

Menurutnya, Kerajaan Negeri melancarkan beberapa inisiatif dan program bantuan pendidikan yang telah memberi manfaat kepada pelajar di negeri ini.

Beliau berkata, inisiatif baharu seperti Sumbangan Mahasiswa Pengajian Tinggi Dalam Negeri (SENTOSA) dan Sumbangan Kegiatan Sekolah Secara One Off (SUKSES) juga telah diperkenalkan bagi memperluas akses kepada pendidikan tinggi dan menyokong kegiatan sekolah.

“Inisiatif-inisiatif ini adalah antara 13 inisiatif pendidikan yang diberikan kepada pelajar, sekolah, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), serta persatuan pelajar Sabah di dalam dan luar negeri, dengan jumlah RM75.5 juta.

“Dalam aspek pembangunan kemahiran, Kerajaan Negeri terus memperkukuh Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta program latihan teknikal di negeri ini,” kata Hajiji.