LABUAN : Pergerakan trafik di sekitar Jalan Merdeka berhampiran dengan Terminal Feri Ro-Ro dijangka terus meningkat berikutan kenderaan mula berpusu-pusu untuk balik ke tanah besar Sabah selepas bercuti Hari Raya Aidilfitri di pulau bebas cukai ini.
Selain itu, pergerakan masuk kenderaan yang balik bercuti dari tanah besar Sabah, Sarawak dan Brunei Ke Labuan juga turut meningkat sekaligus menjadikan jalan di kawasan pusat bandar akan bertambah sibuk.
Bagi memastikan pergerakan lalu lintas di kawasan tersebut berjalan lancar, pihak Polis Daerah Wilayah Persekutuan Labuan, telah melancarkan Op Lancar 22/2024 dengan menempatkan beberapa anggota trafik di kawasan berkenaan bermula semalam.
Timbalan Ketua Polis Daerah Wilayah Persekutuan Labuan, DSP Robin @ Ridwan Ismail berkata, Op Lancar yang dijalankan adalah bertujuan memastikan pergerakan lalu lintas di kawasan itu berjalan lancar selain mengurangkan kesesakan lalu lintas.
“Pihak Polis di sini melalui Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik telah melaksanakan Op Lancar 22/2024 selama enam hari bermula hari ini (14 April) bagi memastikan kelancaran lalu lintas di kawasan tumpuan khususnya di Jalan Merdeka berhampiran Terminal Feri Ro-Ro serta beberapa jalan lain seperti di jalan Tun Mustapha dan jalan Patau-Patau susulan bermulanya sesi persekolahan yang akan bermula pada Isnin ini ” katanya ketika melancarkan Op Lancar peringkat Labuan itu.
Sementara itu, beliau berkata sebanyak lapas kes kemalangan jalan raya telah direkodkan sepanjang enam hari Ops Selamat 22/2024 dijalankan sempena Hari raya Aidilfitri berbanding 3 kes direkodkan pada Ops Selamat 21/2023.
“ Bagaimanapun lapan kes yang dicatatkan itu merupakan kes kemalangan kecil tanpa melibatkan sebarang kecederaan atau kemalangan jiwa,” katanya.
Selain itu, katanya, sebanyak 76 saman dikeluarkan kepada pengguna jalan raya atas pelbagai kesalahan lalu lintas sepanjang Op Selamat 22/2024 berbanding 89 saman yang dikeluarkan pada Op Selamat 21/2023.
Hadir sama, Ketua Bahagian Siasatan dan penguatkuasaan Trafik IPD Labuan, ASP Rechi Anak John Chuhing.