Kerajaan disarankan perhebat pengawasan sempadan elak cubaan pencerobohan perairan Sabah

LAHAD DATU: Kerajaan negeri menerusi Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) disarankan memperhebatkan pengawasan sempadan negara dalam usaha mengelakkan cubaan anasir luar menceroboh kawasan perairan negeri ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Segama, Datuk Mohamaddin Ketapi berkata, anggota keselamatan sedia ada sudah menjalankan tanggungjawab masing-masing sebaik mungkin namun ada beberapa aspek lain yang perlu ditingkatkan agar tiada lagi kejadian tidak diingini berlaku pada masa akan datang.

“Antaranya isu kekurangan aset dan anggota yang mengawasi sempadan dan perairan negara khususnya di pantai timur Sabah.

“Kerajaan perlu mengambil tindakan segera agar isu pencerobohan seperti yang berlaku di perairan Kunak sehingga mengakibatkan anggota keselamatan cedera pada 7 April lalu tidak berulang kembali.

“Walaupun kejadian seumpama itu jarang berlaku tetapi ia tetap menunjukkan bukti sempadan dan kedaulatan negara kita mudah dicabuli penjenayah negara asing,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media pada Majlis Rumah Terbuka Dewan Undangan Negeri (DUN) Segama pada Ahad.

Sementara itu, Mohamaddin memuji keberanian dua anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim (APMM) yang cedera ditembak ketika sedang menjalankan rondaan Op Khas Pagar Laut baru-baru ini.

Menurut beliau, semua anggota yang terlibat di dalam tembakan berkenaan adalah wira negara yang perlu diberikan penghargaan.

Terdahulu, Bintara Muda Maritim Zainal Abad Komel, 45, cedera di mata kiri selepas terkena tembakan ketika kejadian tembak-menembak dengan perompak laut kira-kira 0.2 batu nautika Timur Laut, Perairan Kampung Pangi, Kunak.

Dalam kejadian jam 8.40 pagi itu, seorang lagi kru bot, Laskar Kanan Maritim Prayrie De Cuella Jimin, 35, cedera di kedua belah tangan ketika sedang membalas tembakan dengan penjenayah terbabit manakala empat lagi tidak mengalami sebarang kecederaan.