Penubuhan semula LPS wajar disokong, Terrence Timbulkan optik politik tidak bertempat – Pemuda GRS

KOTA KINABALU : Kenyataan Terrence Siambun, Naib Presiden Warisan mengkritik Datuk Seri Hajiji Noor, Ketua Menteri Sabah dalam isu meluluskan pengaktifan semula Lembaga Padi Sabah (LPS) dianggap satu lagi optik politik yang tidak bertempat.

Naib Presiden USNO III, Iskandar Zulkarnain Ramli berkata, tindakan mereka itu hanya sengaja mencipta provokasi siasah yang tidak wajar.

Katanya, kenyataan itu memberikan persepsi negatif terhadap usaha kerajaan negeri mengatasi keperluan semasa rakyat khususnya tahap sara diri (SSL) beras tetapi turut menunjukkan kegagalan parti mereka semasa mentadbir negeri dahulu.

“Setidaknya dalam masa setahun, idea penubuhan semula LPS berjaya diluluskan dan peruntukan sebanyak RM1.82 Juta itu telah diumumkan lebih awal, mereka  (Warisan) menjadi kerajaan selama lebih 22 bulan, tetapi tiada tindakan sedangkan mereka SSL beras negeri perlu ditingkatkan.”

“Betul Shafie Apdal ada menimbulkan idea tersebut, itu pun selepas dua tahun memerintah dan diakhir-akhir kejatuhan mereka,” katanya.

Iskandar merupakan Timbalan Ketua Pemuda Gabungan Rakyat Sabah (GRS) berkata, isu monopoli beras import oleh Padiberas Nasional Berhad (BERNAS), sudah dijawab oleh Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Malaysia, Datuk Seri Mohamad Sabu di Parlimen.

“Mekanisme itu berfungsi dengan baik sebagai benteng melindungi industri padi dan beras tempatan daripada terdedah kepada ketidaktentuan kedudukan pasaran antarabangsa, dalam situasi terkini, mekanisme ini boleh mengimbangi bekalan dan harga beras”.

“Bahkan dengan sinergi positif antara kerajaan negeri dan persekutuan, Sabah termasuk Labuan dan Sarawak telah menerima subsidi sebanyak RM950 per tan metrik beras putih import sejak tahun lepas.

“Melalui kaedah itu, harga runcit Beras Putih Import (BPI) di kedua-dua negeri boleh dihadkan pada harga maksimum RM31 bagi sekampit 10kg”, jelas Iskandar.

Sejak 15 Februari 2024, untuk memperkasa industri padi tempatan di Sabah, harga lantai belian padi beras putih di Sabah telah dinaikkan daripada RM900 kepada RM1,300 per tan metrik berkuat kuasa.

“Ini menjadikannya selaras dengan paras harga di Semenanjung dan pastinya akan membantu pendapatan kepada petani dan pengusaha Beras Putih Tempatan (BPT).

“Sebagai bukti keseriusan kerajaan negeri terkait itu beras di Sabah, selain mewujudkan semula Lembaga Padi Sabah dengan peruntukan RM1.82 juta  tahap sara diri (SSL) beras kepada 31 peratus pada 2025,” tambahnya.

Iskandar memberitahu,  kerajaan negeri turut menyediakan insentif penanaman padi dengan peruntukan RM18 juta dan memulihkan kawasan sawah terbiar, membangunkan padi tanah kering.

“Selain itu menambah jentera membajak dan menuai, membekalkan baja, di samping memberi subsidi beras kepada semua pengusaha dengan peruntukan RM5.16 juta pada tahun ini,” kata Iskandar.