UMNO bukan parti Malaya, sebaliknya parti kebangsaan perjuang nasib rakyat

KOTA KINABALU: UMNO bukan sebuah parti Malaya sebaliknya ia adalah sebuah parti kebangsaan yang memperjuangkan nasib rakyat seluruh negara termasuk di Sabah.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata usaha membawa masuk parti itu ke Negeri Di Bawah Bayu suatu ketika dahulu bukan untuk memecah-belahkan parti dari Sabah, Sarawak atau Semenanjung, sebaliknya adalah usaha menyatukan rakyat di negara ini di bawah payung yang sama.

Katanya, rakyat Sabah sendiri yang inginkan UMNO masuk ke Sabah malah Allahyarham Tun Datu Mustapha Datu Harun, yang juga Presiden Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO), mahu ‘percantuman’ jiwa antara rakyat di Sabah, Sarawak dan Semenanjung.

“UMNO asalnya tiada hasrat untuk masuk ke Sabah tetapi UMNO dijemput oleh orang Sabah. Rakyat Sabah yang mahukan UMNO bersama-sama berkembang di negeri ini,” katanya ketika berucap pada Majlis Sambutan Aidilfitri UMNO Bahagian Putatan di sini malam tadi.

Turut hadir Setiausaha UMNO Sabah, Datuk Jafry Ariffin dan Ketua Bahagian UMNO Putatan, Jeffrey Nor Mohamed.

Ahmad Zahid berkata permintaan dan cita rasa rakyat Sabah diterjemahkan ketika itu, malah beliau sebagai Ketua Penerangan Pemuda UMNO Malaysia telah datang ke negeri berkenaan membawa borang keahlian apabila parti tersebut ditubuhkan di Sabah.

Beliau berkata kerja kuat, kesatupaduan rakyat Sabah khususnya peribumi dan Bumiputera Sabah membuatkan UMNO menjadi gemilang dan menjadi kerajaan.

Timbalan Perdana Menteri itu berkata rakyat Sabah dan UMNO telah diuji dalam keadaan yang sukar, namun beliau yakin bahawa ujian tersebut akan memberi kejayaan kepada parti.

“Apa yang sedang kita alami ini, jika berlaku peristiwa besar pada tahun ini, mungkin kalau tidak di pertengahan tahun, di tiga perempat tahun atau selewat-lewatnya tahun depan, saya yakin kalaulah ini semangat yang diperlihatkan, kemenangan akan memihak kepada kita,” katanya.